Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PAPTI – Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 Januari 2026.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan kebimbangan wujud usaha pihak tertentu yang cuba memecahbelahkan keakraban dua negara serumpun, antara Malaysia-Indonesia.

Beliau berkata, tidak sewajarnya perbezaan fahaman politik antara kedua-dua negara itu memecahbelahkan hubungan dua hala itu.

“Jangan kerana perbezaan minda politik di antara kedua-dua negara terbelah kerana nilai-nilai fikrah, pemikiran, kebudayaan, bahasa yang memang terjalin kedua-dua negara ini sebagai satu rumpun.

“Kekhuatiran saya ada usaha-usaha mahu memecahkan keakraban dan kerumpunan ini sehingga ada negara itu cuba memecahkan kita.

“Ini harus dipertahankan bahawa dasar pecah dan perintah ini telah memecahkan kita (ketika zaman penjajahan),” katanya berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), di sini, malam ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada penyampaian anugerah pada Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PAPTI – Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 Januari 2026.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Ahmad Zahid menggesa semua pihak untuk mengambil iktibar daripada perpecahan kesatuan negara-negara Arab sehingga kini.

“Kita ketahui bagaimana terpecahnya benua Arab. Ia disebabkan oleh sebuah negara yang cuba memecahkan kesatuan negara-negara Arab dan jelas perkara itu berjaya diadakan dan tidak selesai sehingga sekarang,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid menggesa PAPTI memainkan peranan penting untuk menjalinkan hubungan tidak rasmi mahupun secara peribadi untuk menerap dan merapatkan bukan hanya dalam bidang pelancongan bahkan dalam pendidikan.

“Ini kerana mereka mendapat pendedahan daripada Indonesia dan jika ada pun permasalahan yang timbul di masa-masa akan datang.

“Saya harap PAPTI akan memainkan peranan untuk menghubungi rakan-rakan mereka di tempat pengajian supaya jalinan hubungan ini tidak terputus dan sebarang permasalahan dapat diselesaikan dengan tuntas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast