KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa bantuan segera Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri serta pihak berkuasa Jepun berhubung kes seorang lelaki warga Malaysia yang dilaporkan hilang di negara itu.
Difahamkan, mangsa, Muhammad Faiq Zafran, 23, kini disahkan telah ditahan polis negara itu.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kes berkenaan masih peringkat awal dan pihaknya berharap untuk mendapatkan campur tangan rasmi kerajaan Malaysia serta kerjasama pihak Kedutaan Jepun.
“Saya dimaklumkan Faiq Zafran ditahan di Balai Polis Toyama Minami, Jepun kerana disyaki terbabit dalam kes penipuan melalui panggilan telefon palsu.
“Kita juga dapat tahu, dalam operasi tersebut, sejumlah wang sekitar empat juta yen turut dirampas,” katanya hari ini.
Menurut beliau, maklumat awal itu diperoleh menerusi laporan media dan laman web di Jepun namun pihaknya masih menunggu pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa berkaitan.
“Sekiranya benar dia terbabit dalam kes penipuan, sepatutnya ada rekod terdahulu di Malaysia. Berdasarkan maklumat yang kami peroleh setakat ini, saya berpandangan dia berkemungkinan besar merupakan mangsa pemerdagangan manusia yang dieksploitasi oleh sindiket penipuan dalam talian,” ujarnya.
Hishamuddin berkata, Muhammad Faiq berlepas ke Jepun pada 8 November lalu selepas memaklumkan kepada keluarga kononnya atas urusan kerja sebelum hubungan terputus pada 19 November ketika berada di Tokyo.
“Difahamkan, sepanjang berada di Jepun, dia masih berhubung dengan rakan-rakannya melalui aplikasi WhatsApp dan Snapchat sehingga 18 November.
“Selepas itu, semua komunikasi terputus,” ujarnya.
Beliau berkata, ibu mangsa telah membuat laporan polis pada 30 November lalu dan memaklumkan perkara itu kepada Wisma Putra pada 8 Disember lalu namun sehingga awal Januari lalu, tiada perkembangan diperoleh mengenai keberadaan anaknya.
“Satu perkara yang membimbangkan ialah mangsa tidak memiliki pasport sebelum ini dan semua urusan perjalanan ke Jepun diuruskan oleh pihak yang menawarkan pekerjaan kepadanya. Alasan yang diberikan hanya untuk lawatan tapak dan penyediaan laporan,” katanya lagi.
Menurut Hishamuddin, situasi itu menguatkan lagi kepercayaan MHO yang Muhammad Faiq telah diperdaya dan dieksploitasi oleh sindiket, sebelum dijadikan keldai atau alat dalam kegiatan jenayah.
“Kami menghormati sepenuhnya sistem perundangan Jepun. Namun pada masa sama, MHO akan berusaha membantu mangsa melalui saluran undang-undang yang betul kerana kami percaya dia adalah mangsa pemerdagangan manusia,” katanya.
Beliau menegaskan, MHO berharap campur tangan segera pihak berkuasa Malaysia dapat memastikan kebajikan Muhammad Faiq terbela dan sebarang tindakan undang-undang mengambil kira kedudukannya sebagai mangsa. – MalaysiaGazette
















