Logo MIC

KUALA LUMPUR – MIC dijangka memanggil mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam masa terdekat bagi memutuskan langkah seterusnya parti itu, termasuk penyertaan rasmi ke dalam Perikatan Nasional (PN).

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, walaupun PN telah bersetuju menerima MIC, sebarang kerjasama hanya boleh dimuktamadkan selepas keputusan dibuat di peringkat kepimpinan tertinggi parti.

“Saya akan memanggil mesyuarat CWC dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara ini dan memuktamadkan kerjasama MIC dengan PN,” katanya hari ini selepas hadir sambutan Ponggal di Shah Alam.

Tan Sri SA Vigneswaran selepas sambutan Pesta Kebudayaan Tamil dan Pongal anjuran Putera MIC hari ini.

Rabu lepas, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan gabungan itu telah meluluskan permohonan MIC sejak tahun lalu dan menunggu keputusan rasmi daripada parti berkenaan.

Sekiranya dimuktamadkan, langkah itu akan menyaksikan MIC meninggalkan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali sejak kemerdekaan.

Spekulasi mengenai masa depan MIC dalam BN semakin memuncak sejak Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 pada November lalu, apabila perwakilan meluluskan resolusi memberi mandat kepada kepimpinan parti menilai semula kedudukan MIC dalam gabungan tersebut.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebelum ini dilaporkan menegaskan BN kekal utuh dan MIC tidak pernah memaklumkan secara rasmi hasrat meninggalkan gabungan itu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast