Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR – Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penubuhan jawatankuasa khas anak muda di setiap masjid akan diteliti bagi memperkukuh peranan golongan belia dalam pengimarahan institusi berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, pihaknya menyokong dan menyambut baik seruan berkenaan yang disifatkan mampu menjadi platform kepada anak muda untuk merancang serta melaksanakan program memakmurkan masjid sebagai pusat pembangunan ummah dan pembinaan akhlak generasi muda.

Menurut beliau, masjid merupakan pusat tarbiah dan pembinaan sahsiah ummah yang berlandaskan contoh Rasulullah SAW melalui Masjid Nabawi dan wajar diperkasakan sebagai ruang mesra anak muda yang beradab, inklusif serta patuh kepada syariat Islam.

“Justeru, JPM (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan meneliti cadangan penubuhan jawatankuasa khas anak muda di masjid bagi memperkukuh peranan belia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penglibatan aktif golongan muda dalam pengurusan dan aktiviti masjid diyakini mampu mendekatkan institusi berkenaan dengan generasi baharu serta menjadikannya lebih relevan dengan keperluan semasa.

Terdahulu, Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Kubang Ulu di Pulau Pinang mencadangkan supaya setiap masjid mewujudkan jawatankuasa khas anak muda.

Cadangan itu bertujuan memberi ruang kepada golongan belia merancang dan melaksanakan program kemasyarakatan serta keagamaan sekali gus mengimarahkan masjid sebagai nadi kehidupan ummah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast