KUALA LUMPUR – Sebanyak 33 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam Operasi Ehsan yang dijalankan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2, Sepang kelmarin.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M.Ravi berkata, pihaknya turut memeriksa seramai 114 individu dan 82 kenderaan sepanjang operasi yang bermula sekitar 12 tengah hari sehingga 6 petang pada Jumaat lalu.
“Hasil pemeriksaan lanjut, enam individu telah diserahkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Sepang (PKMD) bagi tujuan pemulihan dan bantuan kebajikan.
“Manakala seorang lelaki warga China telah ditahan di bawah Akta Imigresen bagi kesalahan tamat tempoh pas lawatan sosial dan dua lagi individu dirujuk ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan mental,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambah beliau, operasi itu memberi fokus untuk membanteras aktiviti sosial dan jenayah, khususnya melibatkan kegiatan peleser dan pengemis disyaki berada di bawah pengaruh dadah.
“Selain itu, memantau individu yang mempunyai rekod jenayah lampau dan berpontensi menganggu keselamatan serta ketenteraman awam di kawasan lapangan terbang.
“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menjejaskan keselamatan awam serta imej negara.,” jelasnya.
Beliau berkata, operasi itu dilaksanaan secara bersepadu dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Sepang (PKMD) serta Polis Bantuan (AVSEC MAHB). – MalaysiaGazette
















