KUALA LUMPUR – Rayuan Tun Dr. Mahathir Mohamad agar beliau dan peguamnya dibenar hadir dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, akan didengar di Mahkamah Rayuan esok.
Tarikh itu diperolehi hasil semakan terhadap laman web mahkamah.
Bekas Perdana Menteri merayu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh pada 13 Januari tahun lalu yang menolak semakan kehakiman untuk hadir pada prosiding berkenaan.
Pada prosiding terdahulu, Dr. Mahathir diwakili Zainur Zakaria dan Muhammad Rafique Rashid Ali manakala kerajaan selaku responden dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan Nur Hafizza Azizan.
Pada 5 Jun 2024, Dr. Mahathir memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman supaya prosiding RCI dijalankan secara terbuka.
Bekas pemimpin politik itu dalam afidavit sokongan mendakwa, keputusan RCI untuk tidak mengadakan prosiding secara terbuka kepada orang awam adalah tidak munasabah.
Beliau memfailkan permohonan itu dengan menamakan Pengerusi RCI yang juga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif dan Timbalan RCI, Tan Sri Zainun Ali sebagai responden.
Turut dinamakan sebagai responden ialah ahli-ahli RCI iaitu Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu, Datuk Dr. Johan Shamsuddin Sabaruddin, Profesor Datin Dr. Faridah Jalil, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir, Dickson Dollah dan Setiausaha RCI Zamri Misman.
Dr. Mahathir memohon deklarasi bahawa beliau individu yang terlibat atau berkaitan dengan perkara yang sedang disiasat oleh RCI untuk mengkaji perkara mengenai pengendalian kes itu di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.
Selain itu, beliau memohon perintah melarang Md. Raus daripada bertindak selaku Pengerusi RCI dan melarang Dr. Baljit serta Mohammed Ridha menjadi ahli RCI.
Dr Mahathir berkata, pelantikan Md Raus sebagai Pengerusi RCI menimbulkan `bahaya berat sebelah’ kerana wujud perselisihan faham antara Md. Raus dengan beliau berhubung perkara itu yang akan memberi kesan terhadap ketelusan bekas Ketua Hakim Negara itu dalam membuat keputusan bagi prosiding RCI. – MalaysiaGazette
















