KUALA LUMPUR – Tidak serik disaman berulang kali kerana menunggang motosikal tanpa lesen, remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan buat kali ketiga dalam operasi bersepadu di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dekat sini awal pagi tadi.
Remaja dikenali Adib itu mendakwa ibu bapanya tidak kisah terhadap kesalahan dilakukannya kerana dia sendiri yang akan membayar saman tersebut.
Adib yang berasal dari Wangsa Maju di sini mendakwa, dia bersama dengan rakan-rakannya datang dari tempat kerja sebelum berkumpul di Sentul dekat sini untuk menguji ekzos yang baru ditukarnya.
“Ini kali ketiga saya disaman, sebelum ini pernah kena saman tapi ibu dan ayah tak kisah, janji saya sendiri yang bayar sebab itu saya buat kerja sambilan.
“Saya datang sini pun sebab nak uji ekzos yang baru ditukar, nak tunjuk dekat kawan-kawan, mungkin nasib tak baik, kena tahan pula,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa mengingatkan kepada ibu bapa dan ahli keluarga supaya memantau pergerakan anak-anak khususnya golongan remaja agar tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh membahayakan nyawa serta mengancam keselamatan awam.
Menurut beliau, operasi itu dijalankan susulan aduan penduduk berhubung kegiatan samseng jalanan dan gangguan bunyi bising motosikal di kawasan itu.
Mohd Zamzuri berkata, kegiatan lumba haram di kawasan itu dikesan aktif sejak tahun lepas khususnya pada hujung minggu dengan jarak perlumbaan sekitar 1.8 kilometer di laluan lurus dari Lebuh Raya DUKE hingga susur keluar Gombak.
“Siasatan mendapati terdapat golongan remaja berusia seawal 14 dan 15 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan lumba haram di kawasan itu.
“Mereka dipercayai datang dari sekitar Lembah Klang termasuk Setapak, Gombak, Sentul, Kajang, Cheras serta kawasan sekitar Kuala Lumpur,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.
Operasi bersepadu dijalankan melibatkan seramai 174 pegawai dan anggota JSPTKL bersama pelbagai agensi bermula jam 12 tengah malam dengan memeriksa kira-kira 450 motosikal.
“Sebanyak 83 motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan selain enam tangkapan dibuat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Selain itu, sebanyak 692 saman turut dikeluarkan termasuk kesalahan tiada lesen memandu dan kesalahan lalu lintas lain,” katanya.
Jelasnya, JSPT Kuala Lumpur menegaskan, Lebuh Raya DUKE akan terus menjadi kawasan operasi utama dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berfasa bagi membanteras kegiatan samseng jalanan.
“Pendekatan penguatkuasaan berterusan akan dilakukan bagi memastikan aktiviti berbahaya ini dapat dibendung demi keselamatan pengguna jalan raya.
“Semua penunggang motosikal mematuhi peraturan lalu lintas, tidak menunggang secara berbahaya serta sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















