BUKIT MERTAJAM – Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan mengerikan apabila terlibat dalam kemalangan membabitkan lapan motosikal di Kilometer 8.2 Lebuhraya Butterworth–Kulim (BKE) arah Kulim, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi, mangsa lelaki berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan teruk pada kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, siasatan awal mendapati kesemua motosikal terbabit sedang bergerak dari arah Seberang Jaya menuju ke Kulim sebelum kemalangan berlaku.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, salah sebuah motosikal dipercayai bergesel dengan motosikal lain menyebabkan semua penunggang hilang kawalan dan terbabas.
“Kejadian itu mengakibatkan beberapa motosikal berlanggar sesama sendiri sebelum memasuki laluan kereta.
“Motosikal mangsa pula terjatuh di bahu kiri jalan sebelum melanggar besi penghadang yang memisahkan lorong motosikal dan kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, impak kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius pada kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Tujuh lagi penunggang berusia antara 18 hingga 22 tahun pula, cedera pada bahagian tangan dan kaki.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette















