KUALA LUMPUR – Tiada sebarang cubaan campur tangan dalam urusan dalaman Pas oleh Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah seperti yang didakwa.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, sebaliknya berkata, perbincangan yang berlangsung berkaitan penyelesaian isu pentadbiran negeri demi kepentingan rakyat.
“Cadangan Menteri Besar Perlis adalah untuk menyelesaikan isu dan masalah pentadbiran berkaitan pengagihan peruntukan kepada rakyat di tiga kawasan DUN terlibat berikutan pengumuman kekosongan DUN oleh Speaker DUN Perlis.
“Dimaklumkan bahawa cadangan ini juga dibuat selepas merujuk Penasihat Undang-Undang Negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tun Faisal mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mengingatkan Abu Bakar supaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab mentadbir negeri dan tidak mencampuri urusan parti lain.
Beliau berkata, tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas terhenti keahlian kerana melanggar disiplin parti seperti yang termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Pas.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, akibat pengumuman kekosongan kerusi tersebut, tiga ahli ADUN terbabit telah membawa perkara itu ke mahkamah sekali gus menyebabkan kedudukan mereka tergantung sehingga ada keputusan muktamad.
Tun Faisal menjelaskan antara cadangan utama Menteri Besar ialah kerajaan negeri berharap satu penyelesaian terbaik dapat dicapai bagi memastikan kestabilan politik dan kebajikan rakyat terus terpelihara.
“Antaranya dicadangkan supaya ketiga-tiga ADUN itu diterima semula sebagai ADUN walaupun berstatus bebas kerana mereka masih mempunyai mandat dan hak sebagai wakil rakyat untuk menjaga kebajikan penduduk di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau menegaskan, cadangan tersebut tiada kaitan langsung dengan tindakan Pas terhadap ahli-ahlinya sambil menjelaskan, urusan menggugurkan atau memecat ahli adalah hak mutlak Pas.
Selain itu, Tun Faisal berkata, pendekatan ‘menang-menang’ turut dicadangkan menerusi perbincangan secara ‘adik-beradik’ termasuk cadangan supaya ketiga-tiga ADUN menarik balik saman terhadap Speaker DUN dan speaker pula menarik semula keputusan kekosongan kerusi demi manfaat rakyat.
“Sekiranya cadangan penyelesaian ini tidak dapat dilaksanakan, Menteri Besar akan menubuhkan Pusat Khidmat Menteri Besar di tiga DUN berkenaan bagi membantu rakyat khususnya daripada segi penyaluran bantuan dan urusan kebajikan,” katanya.
Sehubungan itu, Tun Faisal mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat tuduhan melulu dan sebaliknya mengamalkan prinsip tabayyun sebelum menyebarkan sebarang dakwaan.
“Sebagai pemimpin Islam, lebih baik bertabayyun dan mencari maklumat yang tepat sebelum membuat tuduhan melulu. Jauhkan diri daripada mendatangkan fitnah,” katanya. – MalaysiaGazette
















