SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor bersetuju membatalkan sementara rancangan untuk projek ternakan babi di Bukit Tagar, seperti yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan berkenaan sebenarnya telah diputuskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) supaya projek berkenaan ditangguhkan untuk mencari kawasan alternatif susulan tercetusnya bantahan.
“Sebenarnya sebelum PM (perdana menteri) maklumkan kepada kita hari Rabu (minggu lalu), MMKN memang telah memberi arahan kepada Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim untuk mencari kawasan alternatif sebab kita lihat ada bantahan keras di kawasan Bukit Tagar. Kemudian diikuti dengan cadangan PM yang saya sambut baik.
“Tapi kita tidak akan maklumkan lagi kawasan-kawasan itu ataupun cadangan-cadangan lain kerana kita belum putuskan lagi,” katanya ketika ditemui ketika Majlis Amanat Tahun Baharu 2026, di sini hari ini.
Amirudin turut mengakui, rancangan kerajaan negeri itu diumumkan terlalu awal sehingga mencetuskan pelbagai perdebatan sehingga digambarkan di luar naratif yang sebenarnya.
“Memang isu ini agak separuh masak sebab apa-apa pun belum dihantar tapi (kelihatan) macam kita dah nak pacak semalam atau hari ini. Tidak mengapa, kita belajar daripada hal tersebut mungkin ada yang terlebih umum, agak mendahului yang sepatutnya di mana penglibatan dengan pengusaha perlu dibuat,” jelasnya.
Anwar pada Jumaat lalu berkata, beliau akan berbincang dengan Amirudin bagi mencadangkan supaya projek ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar dibatalkan terlebih dahulu.
Menurutnya, Kabinet dalam mesyuarat tersebut berpandangan isu berkenaan membabitkan faktor persekitaran dan keresahan rakyat pelbagai kaum di sekitar kawasan baharu itu harus diberi perhatian.
Sehubungan itu beliau mencadangkan supaya projek tersebut dibatalkan terlebih dahulu.
Amirudin berkata, Anwar memaklumkan cadangannya itu menerusi panggilan telefon ketika beliau berada di luar negara.
“Saya sendiri mengambil maklum dan menyambut baik. Kebetulan Rabu lalu Exco (Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim) memaklumkan ada bantahan keras jadi saya memaklumkan kita carilah kawasan lain yang wajar atau lebih sesuai di kawasan yang kurang sensitif,'” tambahnya.
Beliau turut menegaskan rancangan kerajaan projek ternakan babi itu bukanlah secara besar-besaran seperti yang didakwa.
“Ia bukan mega, bukan besar-besaran yang kata mega itu hanya exaggerate (tokok tambah) melampau daripada sewajarnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















