GEORGE TOWN – Seorang bayi lelaki etnik Rohingya ditemui maut dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Ayer Itam di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kematian bayi berusia enam bulan itu pada jam 8.55 pagi.
“Hasil siasatan mendapati bayi itu ditemui dalam keadaan tidak sedar diri di atas katil dalam bilik tidur oleh ibu bapanya kira-kira jam 7 pagi.
“Tiada unsur jenayah didapati pada badan bayi itu dan semakan juga mendapati mangsa mempunyai sejarah masalah kesihatan di bahagian paru-paru,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Swee Sake, hasil bedah siasat dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini juga mendapati tiada unsur jenayah dikesan pad bayi itu.
“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan satu Laporan Mati Mengejut (LMM) dibuka bagi siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara mangsa yang ingin dikenali sebagai Muhamad Yunus, 32, berkata, dia tidak menyangka panggilan video yang dibuat semalam menjadi detik terakhir melihat mangsa dalam keadaan ceria.
Muhamad Yunus yang juga abang kepada bapa bayi itu berkata, panggilan berkenaan dibuat oleh bapa bayi itu seperti kebiasaan mereka sekeluarga untuk bertanya khabar.
“Dalam panggilan video itu, bayi berkenaan kelihatan gembira sambil minum susu. Saya nampak dia sihat dan langsung tidak menyangka hari ini dia sudah tiada.
“Mangsa merupakan anak bongsu daripada dua beradik, manakala kedua-dua ibu bapanya masing-masing berusia lingkungan 30-an dan 20-an,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette















