Aizul Rohan Anuar menunjukkan laporan polis yang di buat oleh Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan ketika sidang media di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 26 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Mohammad Hafizuddeain Jantan menafikan jam tangan yang dipakainya berjenama Patek Philippe mewah bernilai ratusan ribu ringgit.

Sebaliknya, peguamnya, Aizul Borhan Anuar berkata, jam berkenaan adalah keluaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menerusi sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini, Hafizuddeain menangkis dakwaan aktivis politik, Chegubard.

 

Aizul Rohan Anuar bercakap berkenaan laporan polis yang dibuat oleh Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan ketika sidang media di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 26 JANUARI 2026.

“Contoh kenyataan yang dibuat oleh CheguBard yang memang tidak betul. Semasa datang ke mahkamah Tan Sri pakai jam tanpa jenama tertulis ‘Chief Of Army’.

“Dalam gambar ini senang dimanipulasikan dan menyebabkan orang bercakap tidak tentu hala. Saya sendiri melihat jam Tan Sri pada hari pertuduhan, tengok sendiri, memang saya sahkan itu bukan jenama Patek Philippe,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata,  anak guamnya itu membuat laporan polis pada hari ini.

Selain itu kata Aizul, Mohammad Hafizuddeain turut membuat laporan polis berhubung pendedahan butiran peribadi termasuk akaun perbankan miliknya yang disebarkan pihak Chegubard atau Badrul Hisham Shaharin.

Katanya, anak guamnya sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan sivil susulan fitnah yang dibuat berhubung jam mewah dan pendedahan dokumen sulit tersebut.

“Sama ada kami akan mengambil tindakan sivil atau sebaliknya, saya tidak tahu lagi sebab Tan Sri sedang mempertimbangkannya sebab perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

“Sesiapa boleh membuat laporan polis dan pihak berkuasa untuk membuat siasatan tidak boleh dinafikan hak pihak berkuasa. Tapi untuk orang biasa mendapatkan dokumen-dokumen ini adalah salah di sisi undang-undang.

“Kita tidak boleh saman sewenang-wenangnya, semuanya bergantung dengan bukti. Daripada itu kami akan ambil tindakan,” tambahnya.

Aizul menambah, selain membuat laporan polis, anak guamnya turut diminta memberi keterangan.

Terdahulu tular di media sosial gambar bekas Panglima Tentera Darat itu memakai seutas jam mewah didakwa bernilai ratusan ribu ringgit hingga mencetus buah mulut warganet yang mempertikaikan kemewahan penjawat awam itu.

Mohammad Hafizuddeain pada 22 Januari lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen KL atas empat pertuduhan menerima hasil aktiviti haram mencecah RM2.12 juta pada 2024 hingga tahun lalu.

Kemudian pada 23 Januari, beliau berdepan dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Shah Alam  menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM145,000.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.