Gambar orang awam

MANILA – Sekurang-kurangnya 18 orang disahkan maut selepas sebuah feri yang membawa lebih 350 penumpang dan anak kapal tenggelam di selatan Filipina.

Pengawal Pantai Filipina (PCG) berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menyelamatkan 316 orang yang berada di atas kapal MV Trisha Kerstin.

Operasi masih diteruskan bagi mengesan puluhan lagi mangsa yang hilang.

Menurut laporan media tempatan, kejadian berlaku jam 1.50 pagi (1750 GMT) hari ini, ketika kapal penumpang itu dalam perjalanan ke Jolo, wilayah Sulu, selepas berlepas dari Zamboanga.

PCG memaklumkan bahawa kapal tersebut beroperasi dalam kapasiti penumpang dibenarkan seramai 352 orang, dengan 332 penumpang dan 27 anak kapal berada di atasnya.

Menurut pasukan SAR, keadaan laut yang agak tenang di lokasi kejadian banyak membantu mempercepatkan operasi.

Menurut Komander Pengawal Pantai, Romel Dua, terdapat 24 orang lagi masih hilang.

Tambahnya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. Pesawat dan kapal tentera turut dikerahkan bagi membantu usaha menyelamat.

Mujiv Hataman, Gabenor wilayah kepulauan Basilan, berkongsi klip video dari lokasi kejadian di Pelabuhan Isabela, Mindanao, menerusi Facebook, yang memaparkan mangsa terselamat dibawa turun dari bot, ada yang dibalut dengan selimut haba, manakala yang lain diusung menggunakan pengusung. -AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast