Menteri Digital yang juga Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 11 OGOS 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Kementerian Digital sedang membangunkan Indeks Keterangkuman Digital Malaysia (MyIKD) sebagai pangkalan data berpusat bagi mengukur jurang digital dalam kalangan masyarakat bagi membantu kerajaan merangka intervensi yang lebih bersasar serta memantau tahap keterangkuman digital secara berterusan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, MyIKD akan memberi tumpuan khusus kepada aspek kemampuan masyarakat terhadap akses digital, dengan dapatan indeks itu dimanfaatkan sebagai asas perancangan dasar dan pelaksanaan inisiatif pada masa hadapan.

Menurut beliau, kementerian turut melaksanakan pelbagai program peningkatan literasi dan kemahiran digital yang bersifat terbuka serta mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan berpendapatan rendah, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan komuniti luar bandar.

“Berdasarkan perkembangan pesat sektor ekonomi digital, Kementerian Digital kekal komited memastikan usaha digitalisasi negara tidak melebarkan jurang ketidaksamaan sosial,” katanya
pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai bagaimana kementerian dapat memastikan usaha digitalisasi tidak melebarkan ketidaksamaan sosial terutamanya dari segi akses kemampuan.

Dalam pada itu Gobind menegaskan, keterangkuman digital dijadikan prinsip teras dalam pelaksanaan dasar kementerian yang diterjemahkan menerusi pelbagai inisiatif dan program inklusif melibatkan semua golongan masyarakat.

Tambahnya, pendekatan itu bertujuan memastikan manfaat digitalisasi dapat dinikmati secara adil dan saksama oleh seluruh rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast