KUALA LUMPUR – Perletakan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) gabungan itu, selaras dengan peruntukan jelas dalam Perlembagaan PN.
Sehubungan itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan sebarang Mesyuarat MT PN yang diadakan tanpa kehadiran Muhyiddin adalah satu tindakan yang melanggar Perlembagaan gabungan itu.
“Sekiranya Pengerusi meletakkan jawatannya, perletakan jawatan itu hendaklah berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan Majlis Tertinggi yang akan memilih secepat mungkin seorang Pengerusi baharu,” katanya memetik peruntukan Perlembagaan PN.
Menurut Tun Faisal, berdasarkan peruntukan tersebut, perletakan jawatan Pengerusi PN hanya berkuat kuasa selepas diluluskan Mesyuarat MT PN, dan bukannya secara automatik sebaik pengumuman dibuat.
“Berdasarkan Perlembagaan PN, perletakan jawatan Pengerusi PN hanya berkuat kuasa selepas mesyuarat MT PN meluluskan perletakan jawatan itu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertarikh 23 Januari lalu yang memaklumkan bahawa pelantikan Pengerusi PN akan diputuskan dalam Mesyuarat Luar Biasa MT PN yang dijadual berlangsung Khamis ini.
Menurut Takiyuddin, perkara itu dirujuk kepada notis mesyuarat luar biasa serta surat berkaitan daripada Presiden Gerakan merangkap Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang masing-masing bertarikh 7 dan 10 Januari lalu.
Mengulas lanjut, Tun Faisal menegaskan Perlembagaan PN tidak memberi ruang kepada sebarang tafsiran songsang, khususnya berkaitan status jawatan Pengerusi PN yang masih sah disandang oleh Muhyiddin.
Beliau sekali lagi merujuk kepada Perkara 8.3(I)(b) Perlembagaan PN yang secara jelas menetapkan perletakan jawatan hanya sah selepas kelulusan MT PN, sekali gus menolak sebarang alasan untuk tidak menjemput Muhyiddin menghadiri mesyuarat.
“Bermaksud, Pengerusi PN MASIH ADA dan PENGERUSINYA MASIH Tan Sri Muhyiddin Yassin,” tegasnya.
Tun Faisal menolak sama sekali alasan Muhyiddin tidak perlu dijemput kerana kononnya telah meletakkan jawatan, sambil menyifatkan hujah sedemikian sebagai tidak sah dan bercanggah dengan peruntukan perlembagaan.
Beliau turut memberi amaran cubaan menggunakan Perkara 8.3(II)(b) bagi melantik pemangku Pengerusi adalah satu pelanggaran terang-terangan terhadap perlembagaan kerana peruntukan itu hanya terpakai ketika berlaku ‘ketiadaan’ Pengerusi.
“Peruntukan ini menyebut ‘semasa ketiadaan Pengerusi’, bukannya apabila Pengerusi ‘dianggap tiada’ atau ‘tidak dipanggil secara sengaja’ sedangkan dari sudut perlembagaan, Pengerusi PN masih wujud,” katanya.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Pagoh telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Bekas perdana menteri itu melepaskan jawatan tersebut selepas hampir lima tahun menerajui PN sejak gabungan itu didaftarkan secara rasmi pada 7 Ogos 2020. – MalaysiaGazette
















