Keadaan motosikal mangsa yang maut selepas tercampak kira-kira 10 meter di dalam nahas di Jalan Selandar–Nyalas, Jasin. tengah hari tadi.

JASIN – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kereta sebelum melanggar tiang elektrik dan pokok sehingga tercampak kira-kira 10 meter di Jalan Selandar–Nyalas, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.07 tengah hari itu, mangsa berusia 41 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C100B dari arah Selandar ke Nyalas dipercayai memasuki laluan bertentangan.

“Pada masa sama, datang sebuah kereta Honda City dari arah hadapan yang dipandu lelaki berusia 50 tahun cuba mengelak ke kanan, namun gagal dan melanggar motosikal terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya perlanggaran mengakibatkan motosikal terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar tiang elektrik dan pokok sehingga mangsa tercampak kira-kira 10 meter.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast