Chow Yu Hui

KUALA LUMPUR – Perdebatan mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak wajar dilihat secara terasing, sebaliknya perlu dinilai dalam konteks lebih besar sama ada sistem kemasukan universiti awam negara ini benar-benar adil, telus dan seimbang, kata Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui.

Beliau berkata, bagi memastikan keadilan serta mengekalkan kualiti akademik, pengiktirafan UEC wajar disalurkan melalui mekanisme kemasukan terus ke universiti awam, sama seperti laluan bagi kelayakan antarabangsa lain termasuk A-Level, International Baccalaureate (IB) dan matrikulasi Australia.

Chow berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perbahasannya, beliau turut menyeru pembaharuan menyeluruh terhadap semua laluan kemasukan universiti awam dengan mengambil contoh pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Menurutnya, pelajar STPM terpaksa menanggung beban akademik yang jauh lebih berat, namun tidak semestinya menikmati peluang kemasukan yang lebih baik berbanding pelajar matrikulasi yang disifatkan mempunyai laluan lebih mudah.

“Keadaan ini mewujudkan persepsi bahawa sistem pendidikan kita tidak dibina berasaskan merit yang adil,” katanya.

Beliau menambah, masalah timbul apabila standard akademik serta peluang kemasukan antara pelbagai laluan pendidikan tidak setara, sekali gus menjejaskan keyakinan terhadap sistem sedia ada.

Chow turut memberi amaran bahawa pengiktirafan UEC tanpa pembaharuan menyeluruh terhadap keseluruhan sistem kemasukan berisiko menjadikan struktur kemasukan universiti lebih kompleks dan tidak seimbang.

Dalam masa sama, beliau membangkitkan kebimbangan teknikal berkaitan syarat kemasukan sedia ada, dengan menyatakan kebanyakan universiti awam mewajibkan pemohon memiliki sijil penuh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan bukan sekadar kepujian bahasa Melayu serta lulus sejarah.

“Persoalannya jelas, jika pelajar UEC hanya dibenarkan menduduki dua mata pelajaran SPM, adakah mereka benar-benar memenuhi syarat kemasukan am universiti awam?” soalnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi supaya memberikan penjelasan yang lebih jelas dan menyeluruh berhubung kedudukan pemegang UEC dalam kerangka Syarat Kemasukan Am universiti awam.

Menyifatkan pengiktirafan UEC sebagai satu perkembangan positif, Chow berkata kebanyakan pelajar UEC sebenarnya telah lama mengamalkan sistem dua laluan dengan turut menduduki peperiksaan SPM.

“Pada tahun 2023 sahaja, lebih 10,000 calon UEC menduduki SPM. Daripada jumlah itu, 96 peratus lulus dan 65 peratus memperoleh keputusan cemerlang,” katanya.

Beliau turut memetik pencapaian pelajar Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Kuala Lumpur, yang menyaksikan lebih 300 pelajar memperoleh sekurang-kurangnya lima A dalam SPM, manakala 124 pelajar mencapai sembilan A.

“Statistik ini jelas menolak dakwaan bahawa pelajar UEC tidak menguasai bahasa Melayu,” tegasnya.

Menurut Chow, sekiranya pelajar antarabangsa yang tidak mempunyai kelayakan bahasa Melayu dan sejarah boleh diterima masuk ke universiti awam, adalah tidak munasabah pelajar tempatan yang memenuhi syarat tersebut terus berdepan halangan.

“Ini membuktikan isu sebenar bukan keupayaan akademik pelajar UEC, tetapi kekaburan serta ketidakselarasan dasar kemasukan universiti awam,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast