Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang melanggar belakang sebuah pacuan empat roda di Jalan Senai-LTAS, Kulai, hari ini.

KULAI – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang melanggar belakang sebuah pacuan empat roda di kilometer 4 Jalan Senai-Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini hari ini.

Bahagian Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima maklumat berkenaan kemalangan tersebut pada pukul 9.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal jenis Suzuki dan pacuan empat roda jenis Isuzu.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang lelaki tempatan berusia 43 tahun dari arah Senai menghala ke LTAS telah melanggar belakang pacuan empat roda itu yang dipandu lelaki tempatan berusia 49 tahun.

“Pacuan empat roda itu berada di lorong kiri jalan untuk masuk ke susur jalan menyebabkan mangsa telah hilang kawalan dan terjatuh di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk bedah siasat.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seng Lee meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Ruslan Mohamed 013-3063710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast