KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 25.4, Lebuhraya Kajang Silk, arah Semenyih ke Subang Jaya, hari ini.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu sekitar jam 9.10 pagi.
“Sebaik anggota tiba di lokasi pukul 9.25 pagi mendapati, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa telah diserahkan kepada petugas perubatan untuk tindakan lanjut dan operasi berjaya dikawal sepenuhnya jam 9.30 pagi. – MalaysiaGazette
















