MELAKA – Permohonan masuk ke Taman Bimbingan Kanak-Kanak (tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di beberapa negeri, khususnya di Negeri Sembilan, mencatat permintaan tinggi, terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, fenomena itu mungkin didorong oleh peningkatan kualiti pendidikan awal kanak-kanak ditawarkan tabika itu yang kini setaraf institusi swasta.
Ini termasuklah pelaksanaan Pelan Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang menjadi fokus utama tahun ini selain pengenalan inisiatif pra-tahfiz dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz,
“Saya dimaklumkan permohonan ke beberapa Tabika Kemas diterima seperti pisang goreng panas berikutan permintaan yang terlalu tinggi daripada ibu bapa, khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar.
“Tabika Kemas kekal sebagai pilihan utama kerana yuran yang dikenakan amat minimum, iaitu antara RM20 hingga RM50 sebulan selain penyediaan makanan percuma kepada murid,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette.
Malah menurutnya, di beberapa lokasi tertentu di seluruh negara, ibu bapa hanya perlu membayar yuran serendah RM5 sahaja dengan kemudahan makanan percuma.
“Setiap permohonan pula akan melalui proses tapisan dan keutamaan diberikan kepada keluarga kurang berkemampuan, tanpa mengamalkan konsep siapa cepat dia dapat,” katanya.
Mengulas lanjut, Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan itu berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus memperkukuh pembangunan modal insan menerusi pembaharuan sistem pendidikan Tabika Kemas.
“Ini termasuklah pendidikan digital merentas desa melalui program Smart Classroom@KEMAS serta melahirkan huffaz cilik menerusi program Pendidikan Literasi Tahfiz (PeliTa@KEMAS).
“Lebih 50 peratus Tabika Kemas di seluruh negara akan dinaik taraf, selain peruntukan berjumlah RM40 juta disalurkan kepada Kemas bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan Tabika serta Taska,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Tabika Kemas khas untuk kanak-kanak autistik dijangka mula dibina di setiap negeri bermula tahun ini bagi memastikan akses pendidikan awal yang inklusif dan mampu milik kepada golongan berkeperluan khas.
“Terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas komitmen memastikan Tabika Kemas terus maju dan relevan,
“Tidak lupa juga kepada guru-guru Kemas atas bakti dan pengorbanan mereka dalam melahirkan generasi pemimpin dan profesional negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















