KUALA LUMPUR – Polis mengesan dua lelaki terlibat dalam pergaduhan hingga ada yang cedera dekat stesen minyak di kawasan awam di Taman Sungai Chua, Kajang, Selangor hingga tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 11.13 malam tadi.
“Siasatan menerusi rakaman video itu mendapati, kejadian berlaku sekitar jam 12.50 tengah hari pada Ahad memaparkan dua lelaki sedang bergaduh di kawasan awam.
“Sehingga kini, kedua-dua pihak masih belum membuat sebarang laporan polis dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 16 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1000, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Kajang di talian 03-8911 4243 atau pegawai penyiasat, Sarjan Mohamad Najib Mohd Radgali ditalian 012-3429297,” jelasnya.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi empat minit memaparkan dua lelaki bergaduh dekat sebuah kereta di tempat awam hingga menyebabkan salah seorang cedera selepas disepak dikepala. – MalaysiaGazette
















