PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menangguhkan rayuan semakan kehakiman Tun Dr. Mahathir Mohamad agar beliau dan peguamnya dibenar hadir dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, pihaknya memohon penangguhan atas alasan Zainur Zakaria yang merupakan salah seorang peguam yang mewakili bekas perdana menteri, menjalani prosedur `endovascular aneurysm repair’ baru-baru ini.
“Peguam tersebut sedang berehat selepas menjalani prosedur berkenaan. Kami memohon penangguhan pada Khamis lalu selepas dimaklumkan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) tiada bantahan.
“Kes ini ditetapkan untuk pengurusan kes secara e-review pada 6 Febuari ini untuk menetapkan tarikh pendengaran rayuan yang baharu,” ujarnya ketika memaklumkan perkembangan rayuan itu kepada pihak media hari ini.
Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar rayuan bekas Perdana Menteri terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh pada 13 Januari tahun lalu yang menolak semakan kehakiman untuk hadir pada prosiding berkenaan.
Pada prosiding terdahulu, Dr. Mahathir diwakili kedua-dua peguam tersebut manakala kerajaan selaku responden dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan Nur Hafizza Azizan.
Pada 5 Jun 2024, Dr. Mahathir memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman supaya prosiding RCI dijalankan secara terbuka.
Bekas pemimpin politik itu dalam afidavit sokongan mendakwa, keputusan RCI untuk tidak mengadakan prosiding secara terbuka kepada orang awam adalah tidak munasabah.
Beliau memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Pengerusi RCI yang juga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif dan Timbalannya, Tan Sri Zainun Ali sebagai responden.
Turut dinamakan sebagai responden ialah ahli-ahli RCI iaitu Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu, Datuk Dr. Johan Shamsuddin Sabaruddin, Profesor Datin Dr. Faridah Jalil, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir, Dickson Dollah dan Setiausaha RCI Datuk Zamri Misman.
Dr. Mahathir memohon deklarasi bahawa beliau individu yang terlibat atau berkaitan dengan perkara yang sedang disiasat oleh RCI untuk mengkaji perkara mengenai pengendalian kes itu di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.
Selain itu, beliau memohon perintah menghalang Md. Raus daripada bertindak selaku Pengerusi RCI dan melarang Dr. Baljit serta Mohammed Ridha menjadi ahli RCI.
Dr Mahathir berkata, pelantikan Md Raus sebagai Pengerusi RCI menimbulkan `bahaya berat sebelah’ kerana wujud perselisihan faham antara Md. Raus dengan beliau berhubung perkara itu yang akan memberi kesan terhadap ketelusan bekas Ketua Hakim Negara itu dalam membuat keputusan bagi prosiding RCI. – MalaysiaGazette















