Antara objektif utama Sukma Waja ialah memberi pendedahan kepada peluang pembangunan diri dan ekonomi, meningkatkan keyakinan serta kepimpinan wanita,” kata kenyataan itu.

KUALA LUMPUR – Program Wanita Jelajah Desa dengan nama Sukma Waja diperkenalkan sebagai platform pemerkasaan wanita secara inklusif, merangkumi wanita di kawasan bandar dan desa yang berdepan kekangan akses kepada ilmu, kemahiran serta peluang pembangunan diri.

Menurut kenyataan Wanita Keadilan Malaysia, program itu diwujudkan bagi memperkukuh peranan wanita dalam aspek ekonomi, sosial, kesejahteraan dan kepimpinan.

Ini khususnya di peringkat akar umbi yang terkesan secara langsung dengan cabaran pembangunan semasa.

“Sukma Waja menyasarkan golongan wanita yang memerlukan sokongan pemerkasaan termasuk kumpulan B40, ibu tunggal, usahawan wanita, wanita muda serta kanak-kanak.

“Ini pendekatan menyeluruh bagi memastikan tiada kelompok wanita tercicir daripada arus pembangunan.

“Antara objektif utama program berkenaan ialah memberi pendedahan kepada peluang pembangunan diri dan ekonomi, meningkatkan keyakinan serta kepimpinan wanita,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, pelaksanaan Sukma Waja dilaksanakan melalui pendekatan jelajah komuniti yang melibatkan kawasan bandar dan desa, bermula di Pahang dan Selangor sebelum diperluaskan ke Melaka, Johor dan Sarawak mengikut keperluan setempat.

Peluncuran program itu turut disertai pengenalan logo rasmi Sukma Waja yang melambangkan pemerkasaan wanita secara holistik dengan elemen huruf “W”, simbol hati dan sayap sebagai gambaran wanita sebagai teras program, nilai kesatuan, keprihatinan serta usaha membawa pembangunan terus ke peringkat akar umbi.

Jelasnya, Sukma Waja akan melaksanakan pelbagai program susulan termasuk latihan dan pembangunan kemahiran, jelajah komuniti, sokongan ekonomi, bimbingan keusahawanan serta modul kepimpinan wanita bagi memastikan impak jangka panjang kepada kesejahteraan wanita bandar dan desa.

“Ini dijangka memberi kesan positif melalui peningkatan penyertaan wanita, penguasaan kemahiran, penjanaan pendapatan, pembangunan kepimpinan komuniti serta peningkatan kesejahteraan sosial dan emosi wanita.

“Secara keseluruhan, Sukma Waja adalah platform pemerkasaan wanita yang menterjemahkan nilai kemampanan, kesejahteraan, ihsan dan keadilan sosial selaras dengan agenda Malaysia Madani, dengan wanita sebagai agen perubahan utama dalam pembangunan masyarakat,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast