Zakaria Shaaban.

CYBERJAYA  – Tiada pertindihan berhubung penggunaan beberapa aplikasi iaitu sistem MyNIISe, MyBorderPass dan MyDigitalID bagi tujuan pelepasan imigresen melalui autogate Kod QR.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya mengambil maklum  beberapa hantaran tular yang mengelirukan berhubung perkara itu.

“Stuktur sebenar pelaksanaan inisiatif yang dijalankan secara berfasa ini adalah bagi memastikan kelancaran pergerakan di pintu masuk utama negara serta kesinambungan penyampaian perkhidmatan imigresen kepada rakyat dan pelawat.

“MyNIISe dibangunkan sebagai platform tunggal untuk menyatukan urusan dan perkhidmatan imigresen Malaysia di bawah satu aplikasi digital bersepadu.

“Pembangunan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi jabatan melalui NIISe yang akan menggantikan sistem legasi sedia ada secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, MyBorderPass pula adalah sistem yang mula beroperasi sejak tahun 2024 sebagai intervensi sementara dan melalui ujian konsep (Proof of Concept/POC) bagi menangani isu kesesakan kritikal di pintu masuk utama negara melalui penggunaan autogate kod QR terpilih.

Jelasnya, pelaksanaan ini bersifat taktikal bagi memastikan kelangsungan operasi sempadan berjalan lancar sementara pembangunan dan integrasi penuh MyNIISe dimuktamadkan.

Katanya lagi, MyDigitalID pula merupakan platform identiti digital kebangsaan yang berfungsi sebagai mekanisme pengesahan identiti digital (single sign-on) bagi memastikan akses yang lebih selamat dan sahih ke perkhidmatan kerajaan termasuk MyNIISe.

“MyDigitalID bukan aplikasi imigresen, sebaliknya berperanan sebagai gerbang keselamatan untuk pengesahan identiti pengguna dalam ekosistem perkhidmatan digital kerajaan,” jelasnya.

Zakaria berkata, pelaksanaan semasa adalah fasa peralihan  bersifat sementara bagi membolehkan pembangunan MyNIISe dilaksanakan sepenuhnya tanpa menjejaskan kelancaran operasi pintu masuk, tahap keselamatan sempadan dan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pengguna.

“JIM akan meneruskan agenda pembaharuan dan penambahbaikan perkhidmatan imigresen berteraskan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan bagi menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, selamat dan mesra pengguna demi manfaat rakyat serta keselamatan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast