Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerima Buku Rancangan Pendidikan Malaysia dan Buku Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di PICC, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 20 JANUARI 2026

Oleh: Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim

SEJARAH ketamadunan manusia membuktikan bahawa kemajuan sesebuah bangsa sentiasa berpaksikan kekuatan institusi ilmunya. Universiti, sejak sekian lama berfungsi sebagai pusat pemikiran, penyelidikan dan pembinaan nilai yang membentuk hala tuju masyarakat. Dalam landskap semasa, peranan ini semakin signifikan apabila Malaysia melangkah ke fasa baharu pembangunan pendidikan tinggi menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang meletakkan penekanan jelas terhadap konsep “Akademia Sebagai Pembina Bangsa”.

RPTM 2026–2035 digarap sebagai pelan strategik nasional bagi memastikan pendidikan tinggi bukan sahaja relevan dengan perubahan global, malah kekal berteraskan nilai kemanusiaan dan jati diri kebangsaan. Dalam konteks ini, universiti dilihat bukan sekadar institusi penyampai ilmu tetapi sebagai teras kepada pembinaan ketamadunan dalam usaha melahirkan insan berfikir, beretika dan berupaya menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan negara.

Universiti berperanan meningkatkan ketamadunan melalui penghasilan ilmu yang berteraskan kebenaran, hikmah dan keadilan. RPTM menggariskan keperluan melahirkan graduan holistik yang menguasai ilmu, kemahiran dan nilai seiring dengan aspirasi untuk membina masyarakat berpengetahuan tinggi serta berbudaya ilmu. Pendidikan tinggi tidak boleh terhad kepada latihan teknikal semata-mata sebaliknya perlu membentuk keupayaan berfikir kritis, kesedaran sosial dan kepekaan terhadap isu kemanusiaan serta kelestarian.

Dalam era kemajuan pesat teknologi, universiti turut menjadi pemacu kepada evolusi teknologi dan inovasi negara. RPTM 2026–2035 memberi penekanan terhadap integrasi teknologi digital, kecerdasan buatan dan inovasi berimpak tinggi dalam ekosistem pendidikan tinggi. Namun, pelan ini turut menekankan pendekatan berimbang agar kemajuan teknologi digerakkan secara manusiawi beretika dan bertanggungjawab. Universiti berperanan memastikan teknologi menjadi alat memperkasa manusia, bukan sebaliknya.

Selain itu, universiti merupakan ruang strategik kepada percambahan idea dan wacana intelektual. RPTM mengiktiraf kepentingan kebebasan akademik yang bertanggungjawab dalam melahirkan idea segar, penyelesaian kreatif dan pandangan kritikal terhadap isu nasional serta global. Melalui budaya wacana yang matang, universiti menyumbang kepada pembentukan masyarakat demokratik yang berdaya fikir, beradab dan terbuka kepada perbezaan.

Peranan universiti sebagai perintis kemajuan pembangunan turut ditekankan dalam RPTM melalui pengukuhan kolaborasi antara akademia, industri, komuniti dan kerajaan. Universiti bukan entiti terasing sebaliknya menjadi rakan strategik dalam pembangunan sosioekonomi negara. Kepakaran akademik, hasil penyelidikan dan inovasi universiti menjadi asas kepada penggubalan dasar awam, pemerkasaan ekonomi berasaskan pengetahuan serta penyelesaian isu masyarakat.

Aspek teras dalam RPTM 2026–2035 ialah pembangunan modal insan dan kepimpinan masa depan. Universiti diamanahkan untuk melahirkan generasi pemimpin yang bukan sahaja cemerlang dari segi intelektual, tetapi berintegriti, berempati dan berpaksikan nilai kebangsaan. Melalui pembelajaran berasaskan pengalaman, kepimpinan pelajar, kesukarelawanan dan khidmat masyarakat, universiti membentuk graduan yang memahami makna tanggungjawab sosial dan kepimpinan beretika.

Penekanan Kementerian Pendidikan Tinggi terhadap “Akademia Sebagai Pembina Bangsa” dalam RPTM 2026–2035 menuntut warga universiti khususnya ahli akademik, untuk memainkan peranan lebih luas sebagai pemikir masyarakat dan agen perubahan. Akademia perlu tampil memimpin wacana ilmu, memupuk perpaduan dalam masyarakat majmuk dan menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara yang inklusif dan mampan.

Universiti merupakan institusi strategik dalam pembinaan ketamadunan dan masa depan Malaysia. Dengan berpaksikan RPTM 2026–2035, peranan universiti sebagai institusi ilmu perlu terus diperkasakan agar mampu melahirkan generasi pembina bangsa yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing. Gabungan ilmu, teknologi, nilai kemanusiaan dan kepimpinan
inilah yang akan memastikan pendidikan tinggi kekal relevan serta menjadi tonggak kemajuan negara dalam dekad mendatang.

Naib Canselor UMT, Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim

 

Penulis Naib Canselor, Universiti Malaysia Terengganu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast