PONTIAN – Syarikat konsesi penyelenggaraan jalan raya diwajibkan melantik juruaudit luar bagi mengaudit kerja-kerja yang telah dijalankan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Alexander Nanta Linggi berkata, ini bagi memastikan mutu dan kualiti kerja penyelenggaraan jalan raya yang dilakukan menepati standard yang ditetapkan.
“Pelaksanaan syarat baharu ini dijangka dalam masa terdekat dan melalui tempoh interim selama setahun bagi melihat sejauh mana keberkesanannya.
“Kita mensyaratkan pelantikan juruaudit luar baharu ini bagi memastikan sama ada mutu kerja penyelenggaraan jalan raya dan sebagainya adalah dalam tahap yang terbaik.
“Kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada laporan seperti mana yang dulu. Ini penambahbaikan yang kita nak memastikan kualiti jalan raya kita mengikut standard antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Penyerahan Projek Siap Jambatan Sungai Pontian Kecil di sini hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Menurut Nanta, dalam tempoh interim itu, kementerian juga akan menilai dan memilih syarikat konsesi penyelenggaraan jalan raya yang akan disambung kontrak atau melantik syarikat yang baharu.
“Kita lihat ada kepentingan untuk melantik juruaudit luar supaya kita dan buat semak dan imbang,” ujarnya.
Menurutnya, penyerahan SST adalah bagi Projek Menaik Taraf dan Pelebaran Jambatan Pontian Besar yang menelan kos RM38.04 juta dan dijadualkan siap pada Januari 2029.
Jelasnya, projek tersebut melibatkan kerja pelebaran jambatan dari dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala serta kerja menaik taraf persimpangan.
“Pelaksanaan projek ini dijangka bakal melancarkan aliran trafik, di samping menyediakan laluan yang selesa buat pengguna jalan raya,” ujarnya.- MalaysiaGazette















