KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini merasmikan Wakaf Transit UMK di Kampus Bachok, Kelantan sebagai sebahagian daripada usaha memperluas pelaksanaan wakaf pendidikan di universiti itu.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Datuk Mohd Anis Hussein, mencerminkan sokongan berterusan institusi berkenaan terhadap inisiatif wakaf pendidikan di institusi pengajian tinggi.
Naib Canselor UMK, Datuk Profesor Ts. Dr Arham Abdullah berkata, projek tersebut merupakan pelaksanaan awal Wakaf Pendidikan MAIK–UMK, dengan UMK dilantik sebagai mutawalli bagi mengurus serta membangunkan wakaf pendidikan.
Beliau berkata, kemudahan wakaf berkenaan dibangunkan sebagai ruang transit untuk kegunaan warga universiti dan penduduk sekitar Kampus Bachok.
Menurutnya, pembinaan Wakaf Transit UMK berjaya direalisasikan hasil sumbangan berterusan warga kampus sejak 2022, melibatkan penyertaan kakitangan dan pelajar universiti itu.
“Projek ini mencerminkan komitmen bersama warga universiti dalam menyokong agenda wakaf pendidikan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata UMK akan meneruskan usaha pengumpulan dana wakaf bagi membolehkan pembinaan kemudahan wakaf transit di Kampus Jeli sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan wakaf universiti.
Dalam pada itu, Arham berkata,universiti itu komited untuk terus bekerjasama dengan MAIK dalam memperkukuh ekosistem wakaf pendidikan, selain menggalakkan penglibatan warga kampus dan masyarakat setempat.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama daripada pihak industri, agensi serta individu yang berminat untuk menyokong pelaksanaan wakaf pendidikan di UMK.
UMK sebelum ini menegaskan wakaf pendidikan berpotensi menjadi antara instrumen sokongan penting dalam pembangunan universiti dan kebajikan masyarakat, khususnya di kawasan sekitar kampus. – MalaysiaGazette















