KUALA LUMPUR – Kerajaan menerima maklum balas meluas daripada pelbagai pihak berhubung keperluan memastikan penderma dana politik tidak memperoleh kelebihan mendapatkan projek kerajaan, hasil 20 siri libat urus di seluruh negara berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik yang sedang dirangka.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, kebimbangan itu merupakan antara isu utama yang dibangkitkan dalam sesi libat urus berkenaan kerana wujud persepsi bahawa sumbangan politik boleh diterjemahkan kepada kontrak atau projek kerajaan.
“Kita perlu faham penggubalan RUU ini belum selesai dan masih dalam perbincangan, tetapi saya bersetuju terdapat persepsi pihak yang menyumbang akan mendapat kelebihan tertentu, termasuk memperoleh kontrak kerajaan.
“Inilah sebab rang undang-undang ini diusahakan, bagi mengatasi persepsi sedemikian dan mengelakkan tanggapan bahawa sesiapa yang menyumbang dana politik akan mendapat projek,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Suhaizan Kayat (PH-Pulai) yang meminta Perdana Menteri menyatakan perkembangan cadangan kerajaan untuk menggubal Akta Pendanaan Politik bagi menjamin ketelusan.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor turut menyifatkan isu berkenaan sebagai relevan.
“Apa yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pulai itu sangat relevan,” katanya.
Menerusi soalan tambahan, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) meminta jaminan kerajaan bahawa undang-undang pendanaan politik kelak tidak akan dilaksanakan secara terpilih atau digunakan hanya terhadap pihak pembangkang.
“Menteri, saya nak pastikan kerajaan boleh beri komitmen untuk berlaku adil kepada semua parti politik. Jangan digunakan terhadap pembangkang sahaja,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kontraktor yang aktif mendapatkan projek kerajaan tidak dibenarkan menyumbang kepada parti politik bagi mengelakkan amalan membeli pengaruh.
“Kalau boleh, kontraktor yang aktif dengan kerajaan ini jangan diterima sumbangan mereka kerana ia boleh mewujudkan amalan membeli pengaruh,” katanya.
Menurutnya, pemberian projek bernilai besar dalam tempoh singkat juga boleh menimbulkan persepsi tidak sihat termasuk melibatkan syarikat luar.
Menjawab perkara itu, Kulasegaran menegaskan komitmen kerajaan terhadap penggubalan undang-undang pendanaan politik, namun mengakui proses berkenaan memerlukan penelitian menyeluruh.
“Komitmen itu ada, tetapi kita juga perlu mengambil kira sejarah. Selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada 2020, kerajaan selepas itu mempunyai lebih dua tahun untuk menggubal undang-undang ini, namun peluang tersebut tidak dimanfaatkan,” katanya.
Beliau berkata, cadangan Ahli Parlimen Besut itu sedang diteliti oleh Jawatankuasa Khas Pilihan (JKPK) Parlimen yang turut dianggotai Mohamad Zulkifly sendiri.
“Inisiatif ini berada dalam penelitian JKPK dan usaha ini sedang dijalankan bukan sahaja oleh kerajaan, tetapi semua pihak berkepentingan,” katanya.
Tambah Kulasegaran, jawatan kuasa berkenaan perlu menyegerakan usaha tersebut dan kerajaan kekal komited untuk melaksanakannya.
“Kerajaan sememangnya komited, malah lebih 100 peratus,” katanya.
Terdahulu, beliau memaklumkan sebanyak 20 siri libat urus telah diadakan, termasuk 12 sesi di peringkat negeri yang melibatkan 1,544 peserta daripada pelbagai latar belakang.
Hasil libat urus itu, bersama kajian persepsi awam yang sedang dijalankan, akan digabungkan bagi membentuk parameter dasar RUU Pendanaan Politik sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.
Februari tahun lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki mencadangkan supaya penggubalan Akta Pendanaan Politik disegerakan, khususnya berkaitan pendanaan ketika kempen pilihan raya.
Penggubalan RUU itu bertujuan mengurangkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan ahli politik, sekali gus memperkukuh imej kerajaan dan negara. – MalaysiaGazette
















