Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook hadir Majlis Peluncuran Program Geran Padanan bagi Penggantian Kenderaan Lama hari ini.

PUTRAJAYA – Sebanyak 4.07 juta atau 20.7 peratus kenderaan di negara ini dikesan ‘tidak lagi aktif’ selepas tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) selama tiga tahun atau lebih.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia berdasarkan statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang merekodkan 19.69 juta kenderaan yang didaftarkan di Malaysia sehingga 31 Disember 2025.

Katanya, kenderaan itu berpotensi besar dikategorikan sebagai kenderaan terbiar yang boleh menimbulkan risiko keselamatan, pencemaran alam sekitar dan gangguan komuniti setempat.

“Masih ramai rakyat Malaysia menggunakan kenderaan yang berusia lebih 20 tahun di atas jalan raya bukan kerana tidak mahu menukar, tetapi kerana kekawangan dan keperluan harian.

“Kenderaan lama lazimnya kurang selamat, lebih kerap rosak, tidak cekap bahan api, dan tidak lagi memenuhi piawaian keselamatan semasa,” katanya pada Majlis Peluncuran Program Geran Padanan bagi Penggantian Kenderaan Lama di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, program itu merupakan inisiatif besar yang diperkenalkan bagi menggalakkan pelupusan kenderaan uzur secara tersusun dan bertanggungjawab. – MalaysiaGazette

Pemilik kenderaan lebih 20 tahun terima insentif ganti kereta baharu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast