KUALA LUMPUR – Aktiviti pemprosesan dan pembungkusan air ketum tumpas dengan penahanan enam individu di sebuah premis kediaman di Rawang 22 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Arifin Mohamad Nasir berkata, mereka yang ditahan melibatkan seorang lelaki tempatan, serta tiga lelaki dan dua wanita warga asing berusia antara 21 hingga 38 tahun.
Polis turut memeriksa sebuah kenderaan jenis Toyota Hiace yang berada di hadapan premis.
“Kita telah merampas 2,026 botol air ketum dengan isipadu keseluruhan 1,215,600 mililiter, 20 kilogram (kg) daun ketum, pelbagai peralatan memproses serta sebuah kenderaan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM21,060 dan dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing adalah negatif.
Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 23 sehingga 29 Januari ini oleh Mahkamah Selayang bagi siasatan di bawah Seksyen 30(3), Akta Racun 1952. – MalaysiaGazette
















