TASEK GELUGOR – Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan MARA Japan Industrial Institute (MJII) kini dijenamakan semula di bawah satu nama sebagai TVETMara, berkuat kuasa mulai hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penjenamaan semula itu melibatkan keseluruhan 25 institusi merangkumi ketiga-tiga institusi berkenaan.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penjenamaan semula itu merupakan sebahagian usaha memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal baharu di bawah MARA serta membuka laluan lebih luas kepada pelajar dalam bidang kemahiran sekali gus memenuhi keperluan industri.
“Menerusi TVETMara, pelajar akan melalui laluan pendidikan berperingkat bermula dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sehingga ke peringkat tertinggi.
“Giat Mara berjalan seperti biasa dengan menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia tahap satu hingga tahap tiga manakala tahap empat dan lima pula, ia berada di bawah TVETMara.
“Selepas itu pelajar boleh menyambung pengajian di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

“Sekiranya mereka mahu terus terjun ke bidang pekerjaan dengan kelulusan profesional yang telah saya sebutkan, mereka boleh berbuat demikian,” katanya kepada pemberita Majlis Peluncuran Penjenamaan TVETMara di sini, hari ini.
Menurutnya, ruang untuk melanjutkan pelajaran masih terbuka luas sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa.
Zahid berkata, peluang dalam TVETMara turut terbuka kepada individu yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau tidak mempunyai kredit.
“Mereka yang tidak mempunyai SPM atau mempunyai kelulusan SPM tanpa kredit sekalipun masih boleh meningkatkan kerjaya mereka, khususnya dalam bidang TVET ini.
“Kemasukan ke TVETMara terbuka kepada lepasan GiatMara, lepasan SPM serta Sekolah Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan.
“Kita amat terbuka kerana ini bukan jalan pintas, tetapi satu laluan yang menggunakan ekosistem pendidikan teknikal yang baharu,” katanya.
Tambahnya, kebolehpasaran graduan TVETMara adalah tinggi hasil kerjasama erat dengan pemain industri menerusi Memorandum of Agreement (MoA).
Katanya, secara keseluruhan, kebolehpasaran berada pada tahap 98.7 peratus, manakala bagi IKM sahaja, kebolehpasarannya telah mencapai 100 peratus.
“Kita berharap penjenamaan semula ini bukan sahaja dapat mengekalkan pencapaian tersebut, malah membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
“Ia selari dengan usaha kerajaan untuk melahirkan 60,000 jurutera dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E) di pasaran.
“Jumlah ini bukan sukar dicapai jika kita bersungguh-sungguh, khususnya dengan memanfaatkan institusi sedia ada selain institusi pendidikan tinggi awam dan swasta,” katanya.
Terdahulu, Zahid dalam ucapannya memaklumkan bahawa selaras dengan penjenamaan TVETMara, Institut Kemahiran Mara (IKM) Seberang Perai Utara akan melaksanakan Pelan Transformasi ke arah penubuhan National Electrical Energy Specialist Academy (NEST) menerusi Kerangka Pelan Transformasi Strategik NEST bagi tempoh 2025 hingga 2035.
Menurutnya, pelaksanaan kerangka NEST itu dirangka menerusi dua fasa pembangunan utama, dengan fasa pertama memberi penekanan kepada pembangunan komuniti dan industri, manakala fasa kedua memfokuskan kepada pembangunan di peringkat nasional.
“Keseluruhan pelaksanaan ini dipacu melalui empat bidang fokus utama, disokong oleh lima strategi teras yang merangkumi 29 inisiatif strategik serta dikuatkan dengan lapan pemangkin utama,” katanya. – MalaysiaGazette
















