Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan, Aznan Tamin melawat penduduk terjejas PPS di (SK) Sungai Kapal, Pengerang, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Seramai 112 penduduk ditempatkan di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) susulan kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang, di sini sejak Jumaat lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, dua PPS berkenaan yang menempatkan 39 keluarga dibuka di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kapal.

“Kedua-dua PPS diaktifkan semalam pada pukul 4.30 petang di dewan manakala di sekolah dibuka pada pukul 10.30 malam.

“Seramai 86 penduduk dari 27 keluarga ditempatkan di dewan. Sementara di sekolah seramai 26 penduduk dari 12 keluarga telah dipindahkan di situ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu PPS di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai mula diaktifkan selepas satu mesyuarat penyelarasan insiden kebakaran di kawasan Taman Bayu Damai, Pengerang diadakan petang semalam.

Mesyuarat memutuskan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Tinggi telah bersetuju untuk mengaktifkan PPS petang semalam.

Pengaktifan PPS bertujuan bagi pemindahan penduduk yang terkesan dengan asap kebakaran tanah gambut di Taman Bayu Damai, Pengerang sahaja.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, susulan daripada mesyuarat penyelarasan tersebut, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memasang alat pemantauan udara (GRIMM).

“Alat GRIMM akan dipasang bermula hari ini bagi tujuan memantau kualiti udara di kawasan Taman Bayu Damai dan akan mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan jika bacaan kualiti udara (IPU) sekiranya bacaan IPU tinggi.

“Pemantauan berterusan akan dijalankan sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast