Kebakaran hutan
Kebakaran hutan

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan 2,917 kes kebakaran terbuka di negara ini bagi tempoh 1 hingga 27 Januari 2026, melonjak kira-kira 300 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, angka tersebut melibatkan kebakaran ke atas 238 hektar tanah di seluruh negara dengan 287 hektar berjaya dipadamkan manakala baki 41 hektar lagi masih dalam tindakan pemadaman oleh pasukan bomba.

Tambahnya, jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya, jumlah tersebut menujukkan peningkatan signifikan yang mana hanya 729 kes direkodkan pada Januari 2025 manakala 66 kes sahaja dicatat pada 2024.

“Kebakaran kawasan belukar dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada keseluruhan kes kebakaran terbuka apabila mencatatkan sebanyak 2,187 kes atau 75 peratus daripada jumlah keseluruhan kes bagi tempoh 1 hingga 27 Januari 2026.

Jumlah ini meningkat berbanding 440 kes pada tahun 2025 dan 53 kes pada tahun 2024 bagi tempoh yang sama,” kata JBPM dalam kenyataan, hari ini.

JBPM
JBPM

Selain itu JBPM memaklumkan, kebakaran di tapak pelupusan sampah haram turut menyumbang kepada peningkatan jumlah kumulatif kes kebakaran terbuka dengan 431 kes direkodkan sehingga 27 Januari lalu.

Jelasnya, peningkatan ketara kes kebakaran terbuka boleh dikaitkan dengan keadaan cuaca semasa yang panas, kering serta berangin yang dijangka berterusan di kebanyakan kawasan Semenanjung Malaysia sehingga 31 Januari 2026.

“Keadaan cuaca panas, kering dan berangin ini berpotensi meningkatkan risiko kemerebakan kebakaran terbuka, terutamanya melibatkan kawasan belukar dan tapak pelupusan sampah haram,” jelas kenyataan itu.

Setakat ini, kes kebakaran terbuka yang masih aktif adalah di Johor melibatkan keluasan 196.5 hektar di beberapa lokasi termasuk Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Desa Selatan Kampung Lepau serta Tapak Pelupusan Sampah Bukit Tuatau Bandar Penawar, dengan operasi pemadaman masih giat dijalankan.

Sehubungan itu, JBPM menasihatkan orang awam agar tidak melakukan pembakaran terbuka dan sentiasa mematuhi peraturan keselamatan.

“JBPM sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam keselamatan nyawa, harta benda dan alam sekitar,” kata JBPM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast