PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) diletakkan di bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berkuat kuasa serta-merta.
Menterinya, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pemindahan Mitra ke bawah Kesuma bagi memastikan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan inisiatif masyarakat India dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, bersepadu dan berkesan, selaras dengan ekosistem pembangunan modal insan negara di bawah Kerajaan Madani.
Malah, keputusan itu telah dipersetujui Jemaah Menteri.
“Kesuma akan menjadi pengawal bagi Mitra lepas ini,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Penyerahan Surat Pemakluman Program Dharma Madani di Menara Perkeso, di sini, hari ini.
Ramanan menjelaskan, penempatan Mitra di bawah Kesuma merupakan satu penstrukturan semula pentadbiran bagi memastikan tadbir urus serta pelaksanaan program berkaitan masyarakat India dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berimpak tinggi.
Mitra merupakan unit khas yang bertanggungjawab menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di Malaysia, termasuk mengenal pasti cabaran semasa, melaksanakan inisiatif bersasar serta menyelaras kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta.
Pada 2024, Jemaah Menteri memutuskan Mitra diletakkan kembali di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), selepas agensi itu diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara pada penghujung 2023.
Dalam sidang media sama, Ramanan berkata, antara fokus utama Kesuma ialah memastikan ketelusan dalam pengurusan dana melalui mekanisme pemantauan yang jelas terhadap setiap peruntukan yang disalurkan.
“Ketua Pengarah Mitra juga sedang selaraskan semua program di mana dana dikeluarkan, setiap penerima akan adakan nama mereka dipamerkan di laman web rasmi Mitra. Mungkin akan ada mekanisme untuk memantau dana yang diberi,” katanya.
Menurut beliau, Pengerusi Mitra turut memainkan peranan penting dalam memastikan semua inisiatif yang dirangka selari dengan objektif penubuhan agensi itu serta mematuhi prinsip tatakelola yang ditetapkan kerajaan.
Mengulas kebimbangan kemungkinan konflik kepentingan, Ramanan menegaskan perkara itu tidak akan timbul selagi aspek tatakelola dan peraturan dipatuhi sepenuhnya.
“Kita akan patuh program yang kita ingin laksanakan dan program yang diumumkan, asalkan ikut tata kelola, patuh kepada syarat-syarat program tersebut, tidak ada konflik wujud. Itu saya boleh bagi jaminan,” katanya. – MalaysiaGazette
















