Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi proses mediasi dalam kes saman fitnah terhadap blogger Papagomo. 27 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan perbicaraan kes saman fitnah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar terhadap blogger Papagomo, diselesaikan melalui perbicaraan penuh.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Mohd. Na’im selaku plaintif berkata, ketentuan itu dicapai selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan supaya kes itu diselesaikan secara baik.

Ujarnya, kedua-dua pihak tidak sepakat terhadap terma-terma yang dicadangkan dalam proses mediasi yang berlangsung selama sejam, lewat petang ini.

“Sehubungan itu, perbicaraan kes saman yang telah ditetapkan pada 21 dan 24 September ini, diteruskan,” ujarnya kepada wakil media selepas sesi pengurusan kes hari ini.

Hakim Datuk Kenneth Yoong Ken Chinson selaku perantara dalam prosiding mediasi, menetapkan pengurusan kes pada 6 Mac untuk kedua-dua pihak memaklumkan sekiranya terdapat penyelesaian.

Prosiding itu turut hadiri Mohd Na’im serta Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris dan peguamnya Logen Eskander Abdullah.

Mohd Na’im yang juga bekas Ketua Hakim Syarie memfailkan saman itu pada 19 Oktober 2023, mendakwa Wan Muhammad Azri menerbitkan satu hantaran terhadapnya di akaun Facebook milik defendan dikenali sebagai ‘Sir Azri’ bertarikh 18 September 2023.

Menurutnya dalam hantaran Facebook itu, defendan memuat naik satu klip video berdurasi enam minit 41 saat, yang merupakan klip video diambil daripada akaun TikTok ‘@nurhafizulbadrulhisham’.

Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), tidak membuat atau melakukan apa-apa tindakan positif bagi kesejahteraan agama Islam.

Menurut Mohd. Na’im, oleh kerana beliau dituduh mempunyai kaitan terhadap isu seksual atau lucah, maka plaintif digambarkan sebagai seorang penunggang agama yang tidak cakna dengan kestabilan masyarakat Melayu beragama Islam di Malaysia.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah tersebut menjejaskan reputasi, merosakkan martabat, menjatuhkan maruah dan merendahkan status plaintif di mata masyarakat umum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast