KUALA LUMPUR – Penunggang motosikal terus merekodkan jumlah kematian jalan raya tertinggi di negara ini apabila sebanyak 4,340 kematian dicatatkan daripada 6,537 kes kemalangan maut sepanjang tahun 2025.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai langkah bersasar bagi meningkatkan tahap keselamatan kumpulan berisiko tinggi itu, termasuk memperketatkan penguatkuasaan dan memperluaskan program pendidikan keselamatan jalan raya.
“Memang benar penunggang motosikal merupakan kumpulan terbesar mangsa dan penyumbang kepada kadar kemalangan maut,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Siti Aminah Aching (BN–Beaufort) mengenai kemungkinan memperkenalkan perlindungan khusus untuk penunggang motosikal.
Menurut beliau, penguatkuasaan terhadap penunggang tanpa lesen telah dipertingkatkan kerana golongan tersebut dikenal pasti antara penyumbang utama kepada kemalangan maut.
“Kami memperketatkan penguatkuasaan secara bersasar terhadap penunggang motosikal, terutama mereka yang tidak mempunyai lesen. Ini amat berbahaya kerana mereka tidak menerima latihan yang sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, Loke berkata, program pendidikan dan kesedaran keselamatan jalan raya turut diperluaskan di sekolah menerusi kerjasama yang lebih berfokus bersama Kementerian Pendidikan.
“Kami mengambil pelbagai pendekatan untuk memastikan latihan dan pendidikan diperkukuh, selain bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya dalam aspek keselamatan berkaitan jalan raya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sikap dan tingkah laku pengguna jalan raya kekal sebagai faktor kritikal dalam usaha mengurangkan tragedi kemalangan maut di negara ini.
Menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN–Kuala Krai) mengenai kemungkinan mewajibkan lorong motosikal, Loke berkata, pelaksanaan lorong khas di lebuh raya sedia ada seperti Lebuhraya Utara-Selatan berdepan cabaran besar.
Menurutnya, kekangan struktur lebuh raya lama serta jumlah persimpangan yang tinggi menyukarkan pelaksanaan lorong motosikal secara menyeluruh.
“Bagaimanapun, bagi dasar pada masa hadapan, keperluan menyediakan lorong motosikal di lebuh raya baharu wajar dipertimbangkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















