P. Waytha Moorthy

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 25 Februari ini bagi mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan saman pemula seorang bekas menteri yang mencabar keabsahan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun.

Saman pemula itu difailkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy bagi mendapat perisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022 sebagai tidak berperlembagaan, terbatal dan tidah sah.

Hakim Alice Loke Yee Ching menangguhkan pendengaran hari ini selepas peguam Ranjit Singh yang mewakili Perdana Menteri (responden) tidak hadir kerana mengalami masalah kesihatan.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Daniel Albert bersama-sama Nicholas Yap yang turut memohon maaf atas pemakluman singkat terhadap ketidakhadiran peguam responden.

Sementara itu, Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali dari Jabatan Peguam Negara (AGC) hadir selaku amicus curiae (sahabat mahkamah).

Pada prosiding itu, peguam S. Karthigesan yang mewakili Waytha Moorthy memaklumkan, anak guamnya yang juga seorang pengamal undang-undang memohon untuk bertindak sebagai peguam bersama dalam prosiding itu.

Menurut Karthigesan, anak guamnya turut akan berhujah berkaitan isu tertentu yang akan dibangkitkan dalam permohonan tersebut.

“Saya akan berhujah di mahkamah, namun Waytha Moorthy juga akan mengemukakan hujahan berkaitan satu atau dua isu pada pendengaran kelak,” ujarnya.

Sementara itu, Karthigesan ketika ditemui pihak media sejurus prosiding selesai berkata, kertas-kertas kausa dan penghujahan bertulis telah difailkan oleh pihak-pihak dan mahkamah akan terus mendengar permohonan tersebut pada hari yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Waytha Moorthy berkata, beliau yang telah beramal lama dalam bidang perundangan akan berhujah pada prosiding tersebut meskipun diwakili peguam.

“Saya seorang peguam dan telah beramal lama dan saya juga plaintif dalam kes saman ini,” ujarnya.

Pada 10 Oktober tahun lalu, Anwar, 78, memohon membatalkan saman pemula tersebut atas alasan tindakan itu melanggar pelbagai prosedur perlembagaan dan berkanun lain.

“Tindakan ini tidak dibawa di hadapan hakim pilihan raya seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 33 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Perkara berkenaan juga dibuat di luar tempoh masa mandatori untuk memfailkan satu petisyen pilihan raya seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 38 akta sama,” katanya.

Selain itu, pemimpin politik tersebut berkata, Waytha Moorthy tidak mempunyai hak perundangan (locus standi) yang diperlukan untuk memulakan tindakan bagi mencabar atau mempersoalkan keputusan pilihan raya.

Justeru beliau berkata, saman berkenaan secara tidak wajar, termasuk untuk mendapatkan kepentingan politik, mahu mengekalkan relevansi politik atau mengganggunya.

“Saman ini perlu dibatalkan serta-merta kerana ia tidak berasas, tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah, selain remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya.

Pada 12 Ogos lalu, Waytha Moorthy memfailkan saman pemula bagi mendapat perisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022 sebagai tidak berperlembagaan, terbatal dan tidah sah.

Beliau yang juga Presiden Parti Kemajuan Malaysia menyatakan, Anwar disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara melebihi setahun, yang menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Waytha Moorthy menyatakan, Anwar bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Tambun pada 19 November 2022, walhal tempoh kehilangan kelayakannya masih berkuatkuasa selama lima tahun (16 Mei 2018 hingga 15 Mei 2023). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast