Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak memerlukan dua penggal penuh untuk melaksanakan reformasi menyeluruh sekiranya dipimpin dengan keikhlasan, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ahli Parlimen Marang itu menegaskan, reformasi sebenar boleh dicapai dalam tempoh singkat dengan mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz yang berjaya melaksanakan perubahan besar dalam kira-kira dua tahun sahaja.

“Reformasi tidak memerlukan dua penggal. Kalau sampai dua penggal, itu bukan reformasi tetapi ‘reforkerusi’, bergilir-gilir ambil jawatan. Selepas orang ini, orang lain. Jika reformasi menyeluruh tidak berlaku, ia akan menjadi kosong,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Hadi yang juga Presiden Pas turut memberi amaran, kegagalan melaksanakan reformasi menyeluruh akan menyebabkan rasuah menjadi semakin parah, selain mendakwa wujud amalan keadilan terpilih dalam pengendalian kes-kes rasuah.

Menurut beliau, undang-undang sepatutnya bukan sahaja menghukum penerima rasuah, malah pemberi dan orang tengah yang terlibat, sambil menegaskan mereka wajar diberi perlindungan sebagai saksi bagi memperkukuh penguatkuasaan.

“Mereka (pemberi dan orang tengah) sepatutnya dibenarkan mendapat perlindungan dengan menjadi saksi dan sebagainya. Akibatnya, timbul kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Menggunakan analogi monyet dan beruk berebut pisang, Hadi mendakwa dana kerajaan bagi projek-projek disedut sedikit demi sedikit oleh orang tengah, menyebabkan peruntukan sebenar tidak mencukupi untuk pelaksanaan projek.

“Beruk memotong pisang tidak sekata sehingga tinggal kulit sahaja, barulah monyet dapat. Inilah yang berlaku – sebab projek gagal, hospital tidak berjalan, senjata tidak sampai dan senjata terpakai dibeli,” katanya.

Beliau mendakwa, kebocoran dana berlaku di pelbagai peringkat apabila pihak tertentu mengambil peratusan masing-masing sepanjang proses pelaksanaan projek.

“Wang itu habis di tengah jalan, disedut oleh beruk-beruk yang menjaga ‘sekatan jalan raya’ ini. Ada yang ambil 10 peratus, lima peratus di sepanjang jalan, akhirnya bajet tidak mencukupi,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut mendakwa, pegawai bawahan berkemungkinan dijadikan kambing hitam untuk melindungi pegawai atasan dalam kes rasuah, kerana wujud unsur paksaan dan ugutan.

“Beruk-beruk ini selamat, manakala pegawai dijadikan kambing hitam dan disembelih,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan pendedahan nama pegawai tertentu, sambil tidak menolak kemungkinan terdapat tokoh lebih besar yang menjadi dalang kepada kegiatan rasuah tersebut.

“Mungkin ada beruk yang lebih besar di belakangnya. Pegawai-pegawai ini dipaksa dan diugut oleh beruk-beruk yang lebih besar untuk melakukan perbuatan rasuah,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast