Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Senator Datuk Salehuddin Saidin

KUALA LUMPUR – Seruan agar orang Islam di Selangor tidak membuat bayaran zakat kepada Lembaga Zakat Selangor serta melaksanakan wakaf di negeri itu disebabkan isu pencerobohan tanah perkuburan Islam di PJS4, adalah tidak bertanggung jawab dan mengelirukan.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin menjelaskan, isu pencerobohan tanah perkuburan Islam tersebut berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Selangor dan tindakan penguatkuasaan sedang diuruskan oleh mereka mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

“Hal ini (seruan boikot) bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah ia akan menjejaskan hak golongan asnaf di Negeri Selangor untuk menerima bantuan daripada kutipan zakat serta merencatkan usaha membangun dan memajukan harta wakaf di Negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/01/27/tapak-ganti-kuil-di-pjs4-bukan-tapak-surau-fahmi-ngah/

Tambahnya, MAIS sentiasa memantau sebarang pencerobohan yang berlaku ke atas tapak masjid, surau dan institusi agama Islam di Negeri Selangor.

Namun demikian, jika tanah yang terlibat merupakan tanah Kerajaan Negeri yang diwartakan sebagai maksud awam bagi tujuan agama Islam, MAIS sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memastikan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya diambil bagi mengatasi isu pencerobohan yang berlaku.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi, tuduhan, fitnah atau menyebarkan maklumat yang tidak benar berhubung dengan isu ini. Sebarang maklumat lanjut dan pengesahan hendaklah dirujuk melalui saluran rasmi pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast