KUALA LUMPUR -Tapak ganti yang dikaitkan dengan isu pencerobohan tanah perkuburan Islam oleh dua kuil dan sebuah gurdwara di PJS4 di Petaling Jaya, tidak pernah dicadangkan sebagai tapak surau.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, semakan bersama Pejabat Tanah Petaling dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengesahkan perkara itu.
Ia sekali gus menafikan dakwaan seorang individu yang tular di media sosial mengenai kewujudan tapak ganti kononnya melibatkan perubahan status kegunaan tanah daripada cadangan tapak surau kepada tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).
”Tohmahan melulu yang dibuat oleh beliau dalam hantaran di Facebook bertarikh 23 Januari 2026 bahawa kononnya ”tapak ganti” untuk Kuil Sri Maha Mariamman yang disediakan pemaju Asian Pac Holdings Bhd., pernah dicadangkan sebagai kawasan surau.
”Persepsi yang mungkin mahu dizahirkan di sini adalah bahawa ada tapak surau yang telah diambil oleh pemaju untuk dijadikan tapak kuil India. Daripada komen-komen di hantaran itu, ternyata ramai netizen telah menzahirkan kebimbangan akibat persepsi yang tidak benar ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Fahmi, tapak berkenaan juga bukan tapak ganti kepada binaan kuil dan gurdwara yang menceroboh tanah perkuburan Islam.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan pihak kuil masih perlu membuat permohonan kepada MBPJ dan Pejabat Tanah Petaling serta tertakluk kepada kelulusan agensi berkaitan sekiranya mereka berhasrat untuk menduduki tapak tersebut secara sah.
ARTIKEL BERKAITAN
Dalam perkembangan sama, Fahmi memaklumkan, kerajaan negeri Selangor telah mempunyai perancangan, tindakan dan garis masa khusus bagi merobohkan binaan tidak sah di atas tanah perkuburan Islam di PJS4.
Katanya, kerja-kerja tapak perkuburan yang telah lama dirancang oleh Jabatan Agama Islam Selangor dijangka dapat dilaksanakan seawal Jun 2026.
Beliau turut menggesa semua pihak supaya bertenang dan memberi ruang kepada agensi terlibat menjalankan tugas secara cermat dan teratur mengikut undang-undang.
Kerajaan negeri Selangor, katanya, komited menjaga tanah di bawah pengurusan institusi Agama Islam Negeri Selangor daripada sebarang bentuk pencerobohan dan salah guna. -MalaysiaGazette
















