Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor telah memberi tempoh sehingga 31 Mac ini supaya Tanah Warta Perkuburan Islam di PJS 4, Petaling Jaya dekat sini dikosongkan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kegagalan mengosongkan tanah perkuburan itu dalam tempoh ditetapkan akan disusuli dengan tindakan penguatkuasaan pengosongan tapak oleh pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling bersama JAIS dan agensi penguat kuasa lain.

Menurut beliau, kerajaan negeri bersama JAIS dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan terus menjalankan apa juga langkah yang perlu bagi memastikan pencerobohan ke atas tanah warta JAIS mahupun tanah wakaf MAIS diputihkan dengan segera.

Dalam masa sama, usaha-usaha menghalang sebarang pencerobohan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Orang awam yang mengesan sebarang pencerobohan tanah warta JAIS atau tanah wakaf MAIS bolehlah menghubungi JAIS, MAIS, PDT atau pun PBT untuk tindakan sewajarnya oleh Pengarah JAIS selaku Pegawai Pengawal terhadap tanah warta, dan MAIS selaku pemilik tunggal tanah wakaf di Negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Terdahulu, Mohd Shahzihan merujuk kepada hantaran di media sosial yang tular yang mendakwa tanah wakaf orang Islam di bawah pengurusan MAIS telah diceroboh oleh rumah ibadat haram.

Bagaimanapun, jelasnya, tanah yang dirujuk itu bukan tanah wakaf di bawah MAIS sebaliknya tanah yang diwartakan di bawah JAIS di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (1965).

Sehubungan itu, dimaklumkan tindakan terhadap pencerobohan di atas tanah tersebut telah pun diambil tindakan di bawah gerak kerja pemutihan pencerobohan tanah JAIS yang dilaksanakan bersama pihak pentadbir tanah daerah dan pihak berkuasa tempatan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast