PONTIAN – Sepasang suami isteri warga Indonesia ditahan di Kampung Parit Haji Yassin, Benut di sini semalam kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran dan pengedaran dadah.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, lelaki dan wanita berusia 32 dan 35 itu ditahan dalam Op Pintas/Tapis Bersepadu pada jam 1.20 petang.
“Polis turut merampas empat telefon bimbit pelbagai jenama, satu beg sandang, satu beg plastik hitam serta satu paket lutsinar berisi 500 biji pil disyaki pil ekstasi dengan anggaran berat 184.54 gram.
“Selain itu, polis juga merampas satu paket lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 231.77 gram.
“Nilai kesemua rampasan berkenaan dianggarkan berjumlah RM61,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek telah berada di Malaysia sejak kira-kira setahun yang lalu.
Jelasnya, suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan keluar dan masuk migran sebanyak tiga kali sebelum ini sementara siasatan berkaitan aktiviti sama yang dipercayai berlaku pada tahun lalu masih diteruskan.
“Siasatan awal mendapati bekalan dadah diperoleh melalui pengedar di kawasan Johor Bahru untuk pasaran tempatan serta pasaran Indonesia,” katanya.
Tambah Hadzrat Hussien, hasil saringan ujian air kencing juga mendapati pasangan suami isteri tersebut positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, lelaki berkenaan yang disyaki berperanan sebagai tekong darat ditahan di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 sementara isterinya ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 26A Atipsom 2007, jika sabit kesalahan boleh di penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Kes juga ujarnya, disiasat bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, jika sabit kesalahan boleh dipenjara atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya dan boleh dikenakan enam sebatan.
“Selain itu kes juga boleh disiasat menggunakan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan selain Seksyen 15(1)(A) ADB 1952, jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda dan pengawasan polis selama dua tahun,” katanya.
Sementara itu, Hadzrat berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau mana-mana sindiket yang terlibat kegiatan pemerdangan orang mahupun akviti penyeludupan migran serta pengedaran dadah.
Tindakan tegsas katanya, akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat selaras dengan peruntukan undang-undang.
“Kegiatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengancam keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama risikan terus diadakan secara bersepadu antara Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan Bahagian Siasatan Jejayah Narkotik (BSNJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.
“Kerjasama ini melibatkan perkongsian maklumat risikan, pemantauan pergerakan sasaran serta penyelarasan tindakan tindakan operasi bagi membanteras kegiatan jenayah terancang khususnya pemerdangan orang dan pengedaran dadah,” katanya.- MalaysiaGazette















