Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Mohd Razali Alias merupakan antara beberapa individu berprofil tinggi yang akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pelbagai pertuduhan, esok.

Semakan laman web mahkamah menunjukkan, Mohd. Razali akan didakwa di Mahkamah Sesyen 14 di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, selain Mohd. Razali, seorang pegawai Imigresen turut didakwa di ibu negara bagi kesalahan berkaitan Op Pump.

Kenyataan itu menyebut, agensi berkenaan juga mendapat izin untuk mendakwa seorang ahli perniagaan berkaitan Op Nature di Mahkamah Sesyen 1, Shah Alam, dekat sini.

Turut didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang esok ialah seorang bekas pensyarah manakala seorang pelabur warganegara China akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban berkaitan Op Nature.

Sementara itu, SPRM turut mendapat izin untuk mendakwa seorang pegawai kanan tentera di Kuala Lumpur, Jumaat ini.

Op Nature sebelum ini dijalankan secara serentak oleh SPRM Selangor dan SPRM Negeri Sembilan di dua lokasi, iaitu Klang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan pada 20 Januari lalu.

Menerusi Op Pump pula, SPRM menahan seramai 37 pegawai agensi penguat kuasa kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi Counter Setting atau ‘laluan kaunter khas’.

Pada 22 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata dua lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergelar Datuk akan didakwa aas pertuduhan rasuah, minggu ini.

Ujarnya, kertas siasatan sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan maklum balas berkaitan pertuduhan akan diperoleh dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast