Azli Ismadi Mat Saad dan P. Sanjay Kumar didakwa atas kesalahan melakukan rompakan berkumpulan bersenjata di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Dua rakan yang menyamar sebagai pegawai imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata terhadap seorang lelaki etnik Rohingya, pada dua minggu lalu.

Tertuduh, Azli Ismadi Mat Saad, 32 dan P. Sanjay Kumar, 38 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama empat individu yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjata pisau terhadap Mohamad Roshid Bosi Rahmat, pemegang kad UNHCR bernombor 354-16C00131 termasuk melarikan seutas rantai emas, sebuah telefon bimbit jenama Realme GT dan wang tunai RM3,000 milik mangsa.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira 10.30 pagi di sebuah rumah di Ladang Chip Joo, Bukit Mertajam dalam daerah Seberang Perai Tengah pada 13 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan, yang mana jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 397 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding Nadhirah tidak menawarkan sebarang jaminan.

Manakala dalam mitigasi rayuan, Azli Ismadi mohon mahkamah memberikan jaminan minima manakala Sanjay Kumar mohon jaminan atas alasan perlu menanggung tiga orang anak dengan pendapatan RM2,500 sebulan sebagai pemandu lori.

Mahkamah kemudian membenarkan masing-masing tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 26 Februari depan sebagai sebutan semula kes.

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis tumpaskan geng samun bersenjata menyamar sebagai pegawai imigresen

Media semalam melaporkan polis menumpaskan satu kumpulan samun bersenjata yang menyamar sebagai pegawai imigresen susulan penahanan dua lelaki tempatan di Kuala Lumpur, pada 18 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, tangkapan dibuat susulan satu kejadian samun berlaku kira-kira 10.30 pagi di sebuah rumah di Ladang Chip Joo di sini, pada 13 Januari lalu.

Jelas beliau, pengadu, seorang lelaki warga Myanmar berusia 44 tahun memaklumkan enam suspek lelaki berpakaian gelap dan memakai pelitup muka menaiki sebuah kereta Proton X70 telah berhenti di rumahnya.

“Susulan itu lima daripada suspek telah masuk ke rumah mangsa dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen sebelum menggeledah rumah tersebut.

“Suspek kemudian bertindak mengacukan sebilah parang sebelum melarikan barang kemas, wang tunai dan telefon bimbit dengan anggaran kerugian berjumlah RM4,000,” katanya dalam kenyataan media. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast