PETALING JAYA – Isu pencerobohan tanah perkuburan Islam di PJS4 di sini perlu ditangani dengan pendekatan lebih rahmah dan berhemah.
Perkara itu ditekankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan walaupun isu tersebut tidak diberi respon segera namun beberapa pandangan berkaitan telah pun dikemukakan sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak agar mengutamakan pendekatan menyeru kepada kebaikan serta mengelakkan perkara-perkara yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni.
“Saya rasa tidak mengapa sekiranya kita mengambil pendekatan yang lebih rahmah iaitu dengan mengajak kepada kebaikan dan tidak ingin melihat perkara-perkara yang tidak baik berlaku,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Laporan Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) 2025 di sini hari ini.
Beliau turut menegaskan, usaha-usaha ke arah kebaikan perlu dipertingkatkan dan sebarang ajakan yang boleh membawa kepada keburukan wajar dielakkan demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
Sebelum ini, media melaporkan, tapak ganti yang dikaitkan dengan isu pencerobohan tanah perkuburan Islam oleh dua kuil dan sebuah gurdwara di PJS4 itu tidak pernah dicadangkan sebagai tapak surau.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, semakan bersama Pejabat Tanah Petaling dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengesahkan perkara itu.
Ia sekali gus menafikan dakwaan seorang individu yang tular di media sosial mengenai kewujudan tapak ganti kononnya melibatkan perubahan status kegunaan tanah daripada cadangan tapak surau kepada tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).
Mohammad Fahmi menambah, tapak berkenaan juga bukan tapak ganti kepada binaan kuil dan gurdwara yang menceroboh tanah perkuburan Islam.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Salehuddin Saidin dalam perkembangan berkaitan dilaporkan berkata, seruan memboikot bayaran zakat dan wakaf di Selangor susulan isu pencerobohan tanah perkuburan Islam itu adalah tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.
Menurutnya, seruan itu bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berisiko menjejaskan hak golongan asnaf di Selangor untuk menerima bantuan daripada kutipan zakat serta merencatkan usaha pembangunan harta wakaf di negeri berkenaan. – MalaysiaGazette
















