Rafizi Ramli.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat mengesahkan secara terbuka maklumat berkaitan hasil siasatan serangan ke atas anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli yang berlaku pada 13 Ogos tahun lalu kerana dikhuatiri menjejaskan siasatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendedahan terbuka mengenai perkembangan siasatan boleh mengganggu proses mengenal pasti suspek serta menimbulkan risiko terhadap keselamatan saksi-saksi penting.

“Saya ingin menjelaskan bahawa pengesahan secara terbuka di dewan yang mulia ini dikhuatiri akan mengganggu proses mengesan suspek serta boleh menjejaskan keselamatan saksi-saksi penting,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Rafizi sendiri yang meminta penjelasan mengenai perkembangan terkini siasatan kes serangan terhadap anak lelakinya.

Sehubungan itu, Saifuddin menegaskan, permintaan untuk mengesahkan maklumat berkenaan secara terbuka tidak dapat dilaksanakan buat masa ini.

“Justeru, permintaan tersebut tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

Walaupun begitu, beliau memberi jaminan KDN dan agensi penguat kuasa tidak akan berkompromi dalam memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya.

Menurut beliau, sebarang perkembangan lanjut yang boleh didedahkan kepada umum tanpa menjejaskan siasatan akan dimaklumkan melalui kenyataan rasmi KDN atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, kes tersebut melibatkan anak lelaki Rafizi yang berusia 12 tahun dan berlaku di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos lalu.

Kejadian itu mencetuskan kebimbangan awam dan mendorong pihak berkuasa menjalankan siasatan rapi bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast