Mustakim memberi penerangan berkenaan kebakaran tanah gambut.

KOTA TINGGI – Asap daripada kebakaran tanah gambut yang berlaku di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang di sini sejak Jumaat lalu masih tidak masuk ke ruang udara Singapura.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPPM) Johor, Al Mustakim Abdul Hady berkata, perkara tersebut dimaklumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negeri semalam.

“Saya difahamkan asap itu tidak masuk lagi tapi kita khuatir juga bila asap itu sampai sana nanti, perhubungan diplomatik kita terganggu nanti.

“Jadi kita cubalah (untuk mencegahnya), saya difahamkan macam itu,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Bomba (PKB) di taman tersebut hari ini.

Media Singapura semalam melaporkan, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sedang memantau keadaan jerebu secara rapi selepas bau pembakaran dikesan di beberapa kawasan di Singapura pada malam kelmarin.

Dalam satu catatan Facebook sekitar 10.30 malam tadi, NEA memaklumkan titik panas terus dikesan di Malaysia di utara Singapura, berpunca daripada kebakaran hutan.

Agensi itu sebelum ini turut mengesahkan pihaknya telah mengesan satu titik panas serta kepulan asap di Johor yang berhampiran Singapura.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast