Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos, menunjukkan seliparnya yang akan dilelong bagi menyelesaikan penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85, iaitu kos yang masih belum dibayar kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, di kediamannya di Ampang, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos akan melelong sebelah selipar miliknya untuk melunaskan hutang berupa lebih RM60,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Beliau berkata, ia susulan tindakan wakil rakyat DAP itu yang bertindak menyerahkan notis sitaan serta memecahkan tombol dan kunci pintu dapur kediaman Jamal di Ampang sebelum menukarnya kepada yang baharu, kira-kira 9.30 pagi tadi.

“Esok saya nak jual selipar saya, untuk saya tender, nak bayar lebih RM60,000 duit Teresa Kok, saya rasa selipar saya boleh selesaikan dengan masalah ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Ampang, di sini, hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos bercakap pada sidang media berhubung barangan yang disita secara paksa bagi menyelesaikan penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85, iaitu kos yang masih belum dibayar kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Ampang, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 JANUARI 2026

Terdahulu Teresa mendapat perintah Mahkamah Tinggi di sini untuk menyita harta alih milik Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu bagi mendapatkan jumlah penghakiman tertunggak sebanyak RM66,061.85 sebagai kos yang belum dibayarnya.

Writ penyitaan dan penjualan harta alih itu diperoleh oleh Teresa selaku pemiutang penghakiman terhadap Jamal yang dinamakan sebagai penghutang penghakiman.

Peguam, Datuk S.N. Nair yang mewakili Teresa (plaintif dalam ke saman terhadap Jamal) memberitahu, proses penyitaan itu dilakukan di kediaman Jamal di Ampang Jaya dekat sini hari ini dengan kehadiran bailif dan peguam wakil rakyat DAP itu.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos bercakap pada sidang media berhubung barangan yang disita secara paksa bagi menyelesaikan penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85, iaitu kos yang masih belum dibayar kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Ampang, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 JANUARI 2026

Jamal memberitahu, rombongan wakil rakyat DAP itu juga menyenaraikan 14 barang yang mahu disita termasuk perabot ruang tamu dan ruang makan, televisyen, penghawa dingin serta peti ais.

“Barang paling mahal aircond jenama Panasonic dua unit, mungkin itu yang paling mahal yang diminat daripada perabot-perabot yang sudah lebih daripada 20 tahun tapi masih cantik lagi.

“Sebenarnya barulah diambil senarai, masih ada di rumah lagi dan Insya-Allah kes yang bagi saya tak layak untuk Teresa Kok sebagai wakil rakyat Ahli Parlimen nak tuntut RM60,000 sampai nak pecah rumah saya,” katanya.

Ditanya tentang barang-barang yang disita setakat ini, Jamal berkata, selain daripada senarai 14 barang itu, beliau belum kenal pasti harta miliknya yang hilang ketika kunjung rombongan wakil rakyat DAP itu.

“Setakat ini 14 barang yang disenaraikan belum dirampas lagi, lain-lain barang saya belum pasti lagi hilang atau tidak, saya belum pastikan lagi,” katanya

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos, menunjukkan tombol pintu bahagian dapur yang rosak yang dipercayai akibat proses sitaan secara paksa bagi menyelesaikan penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85, iaitu kos yang masih belum dibayar kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di kediamannya di Ampang, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 JANUARI 2026.

Selain itu, Jamal melahirkan rasa kesal dengan tindakan wakil Ahli Parlimen Seputeh itu didakwa seolah-olah mahu memecahkan kediaman dan mengancam keselamatan beliau sekeluarga.

“Kunci dia tukar di pintu belah dalam (dapur) dan pagar grill pecah dan dirosakkan hingga tidak boleh ditutup semula,

“Saya tengah tunggu tukar balik guna kita punya tombol, sebab bahaya, takutlah nanti pakai kunci dia, dia ada pendua kunci,” katanya.

Sehubungan itu, Jamal akan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada Khamis berhubung tindakan wakil Ahli Parlimen DAP itu yang memecahkan kunci pintu dan mengancam keselamatan.

“Polis ramai datang saya tak pasti jumlahnya tapi semua kita ada rakam, daripada pegawai mahkamah tapi yang penting selamat.

“Saya kecewalah dengan apa yang berlaku pada hari ni dan saya rasa perkara ni sengaja dilakukan sebagai propaganda ataupun nak pancing saya untuk buat (bertindak) lebih ekstrem daripada sebelum ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast