KUALA LUMPUR — Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyokong pendirian 15 organisasi dan individu berkaitan masyarakat Orang Asli yang menolak cadangan pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang didakwa dikemukakan kerajaan tanpa ketelusan serta gagal melibatkan komuniti terlibat secara bermakna.
Ketua Penerangan Putra, Shahrulufti Sharif menegaskan, pihaknya memandang serius kegagalan sesi libat urus yang diadakan pada 22 Januari lalu yang menurutnya jelas tidak mematuhi prinsip Izin Berasaskan Makluman Awal, Bebas dan Telus (IMABT).
Katanya, proses berkenaan didakwa sekadar menjadi formaliti kerana keputusan telah dibuat lebih awal tanpa memberi ruang sebenar kepada masyarakat Orang Asli menentukan hala tuju masa depan mereka.
“Sebagai parti yang memperjuangkan hak dan maruah Bumiputera termasuk masyarakat Orang Asli, Putra menyatakan sokongan terhadap lima tuntutan utama antaranya penangguhan segera proses pindaan Akta Orang Asli sehingga pengiktirafan tanah dan wilayah adat dimasukkan secara jelas dan mengikat dalam undang-undang negara.
“Selain itu, Putra turut menuntut pendedahan penuh draf Rang Undang-Undang (RUU) dan laporan kajian perunding kepada komuniti Orang Asli sebelum sebarang pembentangan di Parlimen di samping pelaksanaan sebenar prinsip IMABT dan bukan sekadar rundingan simbolik,” katanya dalam kenyataan.
Shahrulufti turut menegaskan, keperluan pengiktirafan hak penentuan kendiri masyarakat Orang Asli sebagai sebahagian daripada hak asasi dan kedaulatan rakyat serta penghormatan terhadap tanah dan wilayah adat sebagai warisan nenek moyang yang tidak boleh digadai atau diganggu gugat.
Tambahnya, Putra mempersoalkan pembabitan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Ramli Mohd Nor sebagai panel utama dalam sesi libat urus berkenaan.
Shahrulufti berkata, penglibatan seorang pemegang jawatan legislatif tertinggi dalam Parlimen dalam proses dasar yang dikendalikan agensi eksekutif seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menimbulkan persoalan dari sudut prinsip pemisahan kuasa.
“Putra berpandangan kehadiran beliau boleh mencetuskan persepsi konflik kepentingan, lebih-lebih lagi apabila proses tersebut dikritik sebagai tidak telus dan tidak inklusif,” ujarnya.
Institusi Parlimen, tegas Shahrulutfi, perlu kekal bebas dan tidak dilihat menyokong mana-mana dasar eksekutif secara terbuka, khususnya dalam isu yang menyentuh hak asasi komuniti rentan seperti masyarakat Orang Asli.
“Sehubungan itu, Putra menyeru kerajaan agar menghentikan pendekatan ‘atas ke bawah’ yang meminggirkan suara komuniti akar umbi.
“Sebarang undang-undang yang menyentuh hak dan masa depan rakyat, khususnya masyarakat Orang Asli, tidak boleh digubal tanpa persetujuan mereka yang terlibat secara langsung,” katanya.
Shahrulutfi berkata, Putra akan terus berdiri teguh bersama masyarakat Orang Asli dalam mempertahankan hak, tanah dan maruah mereka, sambil menekankan bahawa kedaulatan negara tidak akan sempurna tanpa keadilan untuk semua anak watan. – MalaysiaGazette
















