Timbalan Setiausaha Agung PKR, G Sivamalar Genapathy menyokong penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perangi rasuah.

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan tegas Kerajaan Madani dalam memerangi rasuah termasuk siasatan dan pendakwaan membabitkan pegawai kanan perkhidmatan awam serta institusi keselamatan negara.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, G. Sivamalar Genapathy berkata, langkah berani kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menandakan perubahan jelas berbanding amalan lama yang membiarkan rasuah berakar umbi tanpa tindakan.

“Selama berdekad-dekad, rasuah dinormalisasikan dan dilindungi. Individu berkuasa kebal daripada tindakan dan budaya senyap menjadi pilihan paling selamat. Kerajaan Madani memilih jalan berbeza,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Sivamalar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), tindakan terhadap pegawai tertinggi termasuk dalam angkatan bersenjata, adalah sesuatu yang belum pernah berlaku dan memerlukan keberanian politik yang tinggi.

“Ini bukan keputusan mudah dan pastinya ada kos politik. Namun kerajaan tidak campur tangan dan tidak memandang ke arah lain. Agensi penguatkuasaan dibenarkan bertindak tanpa takut atau pilih kasih. Ini pemisahan jelas dengan masa lalu,” ujarnya.

Beliau menegaskan, usaha membersihkan sektor awam tidak boleh bergantung kepada hukuman semata-mata, sebaliknya perlu disertai pemerkasaan dan pembaharuan menyeluruh.

“Integriti mesti seiring dengan maruah. Akauntabiliti perlu datang bersama penghormatan kepada penjawat awam yang berkhidmat dengan jujur,” tegasnya.

Dalam pada itu, kata Sivamalar, sejak 2023, kerajaan telah melaksanakan pembaharuan besar termasuk penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal dan Kewangan Awam selain pengurangan kerenah birokrasi serta kelulusan Akta Komitmen Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 bagi menyingkirkan peraturan lapuk yang menjejaskan kecekapan dan kepercayaan rakyat.

Beliau turut merujuk kenaikan gaji lebih 13 peratus kepada penjawat awam yang tertinggi dalam sejarah serta penstrukturan semula sistem imbuhan berasaskan prestasi.

“Kepercayaan awam tidak boleh diwarisi melalui senioriti semata-mata. Ia mesti diperoleh melalui hasil dan integriti,” katanya lagi.

Selain itu, Sivamalar berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada latihan semula dan peningkatan kemahiran termasuk dalam bidang kecerdasan buatan, automasi dan pengurusan data bagi memastikan perkhidmatan awam kekal relevan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, inisiatif Kota Madani mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap penjawat awam melalui penyediaan perumahan mampu milik yang bermaruah.

“Ini bukan soal ihsan tetapi penghormatan terhadap khidmat mereka kepada negara,” katanya.

Sivamalar menegaskan, PKR sebagai parti pemerintah akan terus berdiri teguh menyokong agenda reformasi dan pembanterasan rasuah tanpa kompromi.

“Malaysia tidak boleh bergerak ke hadapan jika rasuah ditoleransi di peringkat atasan tetapi reformasi hanya dituntut di peringkat bawahan. Kami tidak akan berundur hanya kerana perubahan ini tidak selesa,” katanya.

Beliau berkata, pembaharuan institusi memerlukan masa, disiplin dan kesabaran namun hala tuju kerajaan jelas dan berlandaskan keikhlasan.

“Apa yang penting ialah arah dan keberanian kepimpinan. Kerajaan ini tidak akan mengkhianati amanah rakyat,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast